KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) komited untuk menggerakkan koperasi sebagai wadah pembangunan dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat di negara ini, dengan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan yang boleh diceburi.
Presiden Angkasa Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata ia selari dengan tema sambutan Hari Koperasi Antarabangsa iaitu "Koperasi Membina Masa Depan Yang Lebih Baik Untuk Semua".
Beliau berkata koperasi adalah antara institusi yang kekal berdiri teguh walaupun terkesan dengan pandemik yang berlaku beberapa tahun dahulu dan masih mencatatkan perolehan memberangsangkan ketika ini.
“Setakat 2023, gerakan koperasi telah menyumbang sejumlah RM64.6 bilion melepasi sasaran kerajaan iaitu RM60 bilion menjelang 2025.
“Hal ini menunjukkan koperasi yang digerakkan secara berkumpulan mampu memberi impak ekonomi yang besar dan stabil walaupun menghadapi cabaran sukar,” kata Abdul Fattah yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN dalam kenyataan hari ini.
Abdul Fattah berkata kejayaan itu mencerminkan daya tahan dan adaptasi koperasi dalam menghadapi perubahan ekonomi global dan dengan komitmen serta kerjasama anggota koperasi, mereka bukan sahaja dapat mengharungi cabaran, tetapi juga memanfaatkan peluang untuk terus berkembang maju.
Oleh itu, beliau berkata sokongan berterusan daripada kerajaan dan pelbagai pihak amat diperlukan untuk memastikan koperasi terus berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara secara mampan.
Menurut kenyataan itu, pencapaian terbabit juga didorong dengan inisiatif Angkasa melalui pelan dan dasar strategik dalam mewujudkan peluang untuk koperasi berkembang serta terlibat dalam sektor utama berimpak tinggi bagi membantu merakyatkan ekonomi MADANI.
Sokongan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memainkan peranan penting kepada pembangunan ekosistem dan pasaran yang lebih mesra koperasi.
Selain itu, pengiktirafan kerajaan terhadap gerakan itu dengan mengiktiraf Julai sebagai Bulan Koperasi Kebangsaan bertemakan "Malaysia MADANI Teras Kecemerlangan Koperasi" ialah satu penghargaan pada sumbangan gerakan koperasi dalam agenda pembangunan negara.
Kenyataan itu menyebut kedudukan Angkasa mewakili Malaysia selaku badan puncak gerakan koperasi negara sebagai ahli International Cooperative Alliance (ICA) sejak April 1972, telah memeterai pelbagai kerjasama strategik, perkongsian kepakaran dan pertukaran teknologi yang memberi keterlihatan gerakan koperasi negara di peringkat global.
Angkasa sentiasa menjayakan perdagangan antara koperasi dan koperasi (C-2-C) dan mempromosikan produk serta perkhidmatan koperasi di peringkat antarabangsa dengan menumpukan kepada empat segmen utama iaitu produk halal, Kewangan Islam, Model Koperasi Sekolah dan Model Koperasi Kariah Masjid.
Pada masa sama, Angkasa akan meneruskan komitmennya dalam memacu pertumbuhan koperasi menerusi kerjasama daripada semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan dan agensinya, sektor swasta dan masyarakat supaya gerakan ini terus berdaya maju dan memberikan impak positif demi manfaat rakyat jangka panjang.
Hari Koperasi Antarabangsa diraikan pada Sabtu pertama bulan Julai setiap tahun, dengan amalan itu diiktiraf secara rasmi pada 1995 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai hari yang dikhususkan bagi mempromosikan gerakan koperasi serta meningkatkan kesedaran berkoperasi kepada masyarakat umum.
Menurut Angkasa, terdapat lebih tiga juta koperasi dengan keanggotaan seramai lebih satu bilion individu yang menyumbang kepada 280 juta peluang pekerjaan di seluruh dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial