KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Penyedia penyelesaian logistik, AGX Group Bhd merancang untuk memperluaskan operasinya ke Vietnam dengan membeli 60 peratus ekuiti dalam AGX Logistics (Viet Nam) Co Ltd melalui perjanjian pemegang saham dengan melanggan 180,000 saham pada harga RM334,000.
AGX dalam satu kenyataan hari ini berkata baki 40 peratus kepentingan ekuiti akan dipegang oleh warga Vietnam, Dang Huynh Ba Thanh dan Lam Minh Tu.
Langganan itu akan membolehkan syarikat mengembangkan perniagaannya secara geografi dengan menawarkan penyelesaian logistiknya kepada Vietnam dan memanfaatkan kepakaran tempatan dan pengetahuan pasaran yang disediakan oleh dua pemegang saham lain, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Ponnudorai Periasamy berkata pengembangan itu mencatat satu lagi peristiwa penting dalam rancangan perniagaan jangka panjang syarikat untuk mengembangkan perniagaannya di rantau Asia Pasifik.
“Kami percaya bahawa ekonomi Vietnam yang berkembang pesat dan persekitaran perniagaan yang menggalakkan akan membolehkan kami mengembangkan perniagaan kami, bukan sahaja menawarkan perkhidmatan syarikat kami seperti perkhidmatan logistik aeroangkasa tetapi juga membolehkan kami memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan sedia ada di rantau ini.
“Selain itu, mempunyai rakan kongsi tempatan dengan pengetahuan mendalam mengenai pasaran tempatan akan mengurangkan beberapa risiko awal yang berkaitan apabila memasuki pasaran baharu,” katanya.
Ponnudorai berkata AGX Group berharap usaha baharu ini akan menyumbang secara positif kepada masa depannya
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial