Malaysia bakal melakar detik bersejarah dalam sistem Raja Berperlembagaan menerusi istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Menerusi istiadat pertabalan itu, ia secara tidak langsung turut menterjemahkan identiti Kesultanan Melayu dan memperlihatkan keunikan Malaysia sebagai satu-satunya negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan secara penggiliran.
Istiadat pertabalan Sultan Ibrahim juga memaparkan keistimewaan warkah persilaan yang dimulakan sejak istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang pertama negara iaitu Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.
Berkongsi mengenainya, Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, warkah persilaan menggunakan tulisan jawi yang ditulis tangan itu, diletakkan di dalam kapsul khas untuk dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu dan Tuan Yang Terutama (TYT).
Ia bertujuan mengundang Raja-Raja Melayu dan TYT untuk mencemar duli ke Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim yang bakal berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 20 Julai ini.
UTUSAN WARKAH PERSILAAN
Menurut Azuan Effendy, utusan menyampaikan warkah persilaan tersebut terdiri daripada wakil Istana Negara iaitu beliau sendiri, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang dipertanggungjawabkan sebagai Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Awang Alik Jeman merangkap Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan serta Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli.
‘’Untuk Raja-Raja Melayu, bekas (kapsul) itu disaluti dengan emas manakala untuk Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, ia disaluti perak.
pic-2
“Kita berusaha sebaik mungkin untuk menghadap ke bawah duli baginda secara penuh tertib dan santun, untuk menyembahkan warkah persilaan ini dengan penuh adat istiadat,” katanya.
Sebagaimana yang diamalkan sebelum ini, warkah berkenaan juga ditulis tangan dengan tulisan khat Jawi dan bahasanya adalah bahasa Melayu.
Ia menggunakan bahasa Istana yang halus sebagai perantaraan di kalangan Raja-raja yang menitikberatkan penghormatan kepada baginda sultan yang lebih tua dan dalam masa yang sama menggunakan panggilan hormat untuk baginda sultan yang lebih muda.
Sebanyak 16 warkah persilaan telah dipersembahkan dengan yang terakhir, disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu (5 Julai). Warkah itu turut dipersembahkan kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sendiri berkenan menyembahkan warkah itu kepada Sultan Hassanal Bolkiah.
SENI KHAT
Sementara itu, penggiat seni khat tanah air Abdul Baki Abu Bakar, 50, berkata, beberapa jenis khat diketengahkan dan digunakan dalam penulisan warkah persilaan tersebut.
Antaranya ialah khat Nasakh, Thuluth dan Muhaqqaq bagi menghasilkan tulisan khat jawi yang kemas, seimbang dan mudah dibaca.
‘’Sebelum kita mulakan proses menulis, kita akan berbincang dahulu dengan pihak istana, khat apa yang kita akan gunakan dan saya juga turut beri cadangan tentang khat yang kebiasaannya digunakan oleh penulis khat di Malaysia.
‘’Misalnya, untuk sepotong ayat Al-Quran di bahagian atas, kita gunakan khat Thuluth yang ada lenggok sedikit manakala untuk teks pula lebih kepada khat Nasakh. Ini kerana Nasakh adalah tulisan yang biasanya digunakan oleh penulis khat di negara ini kerana tulisannya lebih ringkas dan mudah dibaca.
‘’Pada warkah ini, kebiasaannya kita akan mulakan dengan Basmalah, kemudian ada sepotong ayat Al-Quran dan disusuli teks warkah persilaan yang mana kandungannya menjemput Sultan atau Raja untuk hadir ke istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong,’’ katanya kepada Bernama.
pic-3
Abdul Baki berkata, meskipun sudah berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang penulisan khat, namun bukan satu perkara yang mudah untuk beliau menulis warkah persilaan.
Berasal dari Sik, Kedah, beliau menjelaskan, prosesnya mengambil masa kerana penulis perlu memastikan pen dan dakwat yang digunakan adalah bertepatan serta sesuai dengan jenis khat tersebut.
Selain itu, penulis perlu menentukan mata pen yang sesuai dengan panjang teks dan ruang warkah yang ditetapkan
‘’Kita diberi kertas khas dari Istana Negara (untuk menulis warkah). Meskipun ini kali keempat saya dipertanggungjawabkan menulis warkah berkaitan istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, namun saya masih perlu mencari ‘rentak’ untuk menyiapkannya.
‘’Saya juga mengambil masa lebih daripada satu hari untuk menyiapkan satu warkah sahaja. Sukarnya, teks ini perlu muat dengan ruangan warkah tersebut. Misalnya untuk menulis darjah bagi seorang Sultan atau Raja, kerana darjah kebesarannya yang diterima itu banyak termasuk dari luar negara, jadi kita perlu ruangan yang besar untuk memuatkan kesemua darjah kebesaran ini,’’ katanya yang turut mengakui menulis dengan tulisan jawi lama.
Apa yang menarik, Abdul Baki turut menulis darjah kebesaran berbahasa Inggeris itu ke tulisan khat jawi.
Bagi mendapatkan tulisan khat jawi yang sempurna, beliau akan merangka dahulu teks tersebut menggunakan pensil sebelum menulis semula tulisan berkenaan menggunakan pen khat berdakwat.
Selain warkah persilaan, Abdul Baki juga menulis khat untuk Warkah Ikrar dan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong.
TELITI DAN FOKUS
Pengalaman berbeza pula buat Khairi Izat Amir Mohd Izam, 31, Ketua Penyelaras Akademi Khat Negeri Pahang di Yayasan Pahang, apabila kali pertama dipertanggungjawabkan dalam penulisan warkah persilaan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong kali ini.
Berasal dari Mentakab, Pahang, beliau menyifatkan tanggungjawab yang diberi untuk menyiapkan warkah tersebut adalah sangat besar.
pic-4
Beliau turut mengakui proses penulisan warkah berkenaan agak perlahan kerana perlu memastikan kuantiti dakwat yang digunakan bertepatan serta dakwat tidak tumpah ke atas kertas.
Penulis juga tidak boleh membuat sebarang kesilapan berikutan kertas yang digunakan berkualiti tinggi dan telah pun dicetak dengan reka bentuk tertentu selain saiz ruang yang terhad.
Selain itu, ciri kertas turut memberi cabaran kepada penulis khat, kerana ada kertas yang sesuai untuk percetakan namun kurang sesuai untuk tulisan tangan dan sebaliknya.
‘’Bagi saya penggunaan kertas ini agak mencabar kerana permukaannya tidak bersifat licin, jadi untuk ditulis tangan itu memang tidak mudah.
‘’Kandungan warkah juga berbeza bagi setiap jemputan termasuk daripada segi pangkat gelaran, contohnya, kalau Sultan yang dijemput itu lebih muda daripada Sultan Ibrahim, digunakan “Paduka Adinda” manakala jika yang dijemput lebih tua akan digunakan “Paduka Kekanda”, dan sekiranya berpangkat ayah pula maka “Paduka Ayahanda”akan digunakan. Jadi ini semua perlu kita tahu dan ditulis berhati-hati untuk elak kesilapan,’’ katanya.
Menurut Khairi Izat, untuk itu, beliau juga merujuk tulisan pakar khat sebelumnya, termasuk Abdul Baki dalam penggunaan perkataan jawi dalam menulis pangkat gelaran dan darjah kebesaran.
Di samping itu, katanya, penyediaan draf awal sangat penting kerana pada peringkat draf, penyusunan teks tulisan secara terperinci akan dilakukan.
Beliau berkata, sekiranya kesilapan berlaku, penulisan warkah tersebut terpaksa dibuat semula.
pic-5
“Sedikit kesilapan sekalipun maka kena buat semula. Untuk setiap satu warkah ini saya ambil masa lebih dua hari untuk menyiapkannya.
‘’Ketelitian dan fokus adalah perkara utama yang perlu ada. Sebab itu saya akan menulis warkah ini di waktu malam sebab keadaan lebih tenang. Saya juga akan mula menulis selepas habis kerja hakiki saya di akademi,’’ katanya sambil menambah, daripada 16 warkah persilaan itu, beliau menulis untuk lapan warkah manakala bakinya diselesaikan oleh Abdul Baki.
ALATAN KHAT
Khairi Izat berkata, selain pengetahuan, pengalaman dan kemahiran berkaitan seni khat, alatan menulis khat juga adalah aspek penting yang akan menentukan kekemasan dan keindahan sesebuah karya tersebut.
Selain itu, katanya, dengan teknik yang betul, seseorang penulis dapat menghasilkan karya seni khat yang baik.
‘’Jika kita bercerita tentang menulis khat jawi ini, semua orang boleh menulis…namun tidak semua tahu teknik dan asas kaedah penulisan yang betul. Teknik ini kita kena tahu dan ia sebenarnya mengambil masa bertahun-tahun untuk belajar.
‘’Selain gaya penulisan, alatan juga memainkan faktor penting dalam sesebuah penulisan khat ini. Ia bergantung kepada jenis pen itu sama ada buluh, kayu atau besi, saiz mata serta dakwat yang digunakan,’’ katanya.
Khairi Izat berkata, untuk warkah persilaan itu, beliau lebih selesa menggunakan pen besi yang baginya mudah digunakan, tidak mudah tumpul serta menghasilkan tulisan yang lebih kemas.
Menurut beliau, ada juga penulis yang lebih selesa menggunakan batang resam sebagai pen. Pen itu diambil daripada pokok resam atau spesis paku pakis dan kelazimannya digunakan penulis Al-Quran.
pic-6
‘’Untuk pen batang resam, pen ini akan diasah mengikut bentuk atau saiz mata (pen) yang kita mahukan, manakala bagi pen besi pula, saya akan potong mata pen ini menggunakan mesin pemotong khas mengikut saiz kelebaran yang saya mahukan.
‘’Bagi teks warkah persilaan, biasanya kita guna saiz mata pen lebih kurang 0.8 mm namun, jika menggunakan saiz mata yang besar daripada itu akan menghasilkan huruf yang bersaiz besar dan lebih tebal,’’ katanya.
Begitu juga halnya dengan pemilihan dakwat yang mempunyai taraf kualiti yang berbeza-beza, oleh itu beliau berkata, kebanyakan penulis khat akan menggunakan dakwat yang diimport dari luar negara, contohnya, Jepun atau Jerman yang disifatkan lebih sesuai dan berkualiti.
‘’Sebab itu, penulis khat ini ada identitinya tersendiri…kerana selain pengetahuan, kemahiran dan pengalaman, menulis khat juga bergantung kepada keselesaan penulis itu termasuk daripada aspek peralatan khat ini.
‘’…dan jika dilihat, ada perbezaan gaya atau lenggok penulisan warkah persilaan ini antara saya dan Abdul Baki meskipun kami menggunakan teknik dan asas kaedah penulisan yang sama,’’ tambahnya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial