EKONOMI

Transformasi Teknologi Rawatan Kecemasan, Smc Perkenal Teknologi Ai

10/07/2024 11:15 AM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway (SMC) memperkenalkan teknologi pengimejan ultrasound atau sonografi yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan (AI) dalam usahanya memastikan keperluan pesakit ditangani dengan berkesan dan cekap ketika mendapatkan rawatan kecemasan.

Penolong Pengarah Perubatan merangkap Pakar Perunding Perubatan Kecemasan SMC Dr. Nur Elayni Borhan berkata penggunaan teknologi terkini itu membantu doktor untuk membuat diagnosis dengan lebih cepat dan tepat semasa memberikan rawatan khususnya kepada mangsa serangan jantung dan strok yang datang ke bahagian kecemasan.

Beliau berkata ini sekali gus menekankan betapa pentingnya penyepaduan antara perkembangan profesional dan kemajuan peralatan dalam menambah baik hasil perawatan kecemasan.

“Seperti jabatan kecemasan di seluruh dunia, doktor kecemasan perlu membuat keputusan pantas dan ia menjadi lebih mudah dengan bantuan imej yang tepat dan jelas. Teknologi automatik dan peralatan mudah alih seperti mesin ultrasound AI membolehkan doktor menjimatkan masa dalam mendapatkan maklumat yang diperlukan sebelum tindakan segera diambil.

“Ia membolehkan proses yang rumit seperti penilaian trauma menjadi lebih mudah dengan menggunakan pengiraan automatik dan memfokuskan tahap keadaan pesakit, misalnya pada jantung serta paru-paru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata penggunaan mesin itu juga mampu membantu menyenaraikan kemungkinan situasi yang berlaku terhadap pesakit daripada pendarahan dalaman hingga kepada pneumotoraks selain membuat keputusan klinikal yang lebih baik bagi untuk pesakit yang datang ke jabatan kecemasan.

Dr Nur Eayni berkata secara tidak langsung ia juga dapat mengurangkan masa menunggu bagi mendapatkan rawatan.

Pada masa sama, beliau berkata latihan yang berterusan juga penting bagi memastikan petugas di jabatan kecemasan sentiasa mahir dengan amalan perubatan terkini.

“Pegawai perubatan dan jururawat kami sering mengambil bahagian dalam Pendidikan Perubatan Berterusan (CME), kursus sokongan hayat serta persidangan perubatan di dalam dan luar negara bagi memastikan mereka sentiasa cakna dengan perkembangan semasa,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan mengetahui cara untuk melakukan mampatan dada dikenali sebagai resusitasi kardiopulmonari (CPR) yang merupakan teknik menyelamatkan nyawa pada waktu kecemasan apabila degup jantung atau pernafasan terhenti.

“Lengkapkan diri dengan pengetahuan asas bantuan kecemasan kerana ia boleh menyelamatkan nyawa orang yang anda sayangi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan