KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Skuad bola sepak Kuala Lumpur (KL) City FC berkemungkinan terpaksa ‘tutup kedai’ sekiranya isu tunggakan gaji pemain tidak menemui jalan noktah, kata bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Samad.
Beliau berkata isu tersebut jika tidak ditangani bakal bertambah buruk buat KL City apabila terpaksa kehilangan satu persatu pemain tonggak utama kelab itu yang tidak tahan dengan situasi sedang melanda.
“Situasi ‘tutup kedai’ itu mungkin berlaku kalau kita tidak tangani perkara ini. Kesian kepada pemain-pemain ini kerana bermain tanpa gaji. Pemain pun hilang semangat bahkan sebelum ini saya hilang Bojan Hodak (bekas ketua jurulatih), Kevin Mendoza, Romel Morales serta Akram Mahinan.
“Jika perkara ini berterusan, lambat-laun KL City tiada pemain. Kalau Paulo Josue (pemain penyerang) dah mula mengeluh, apatah lagi yang lain yang masih bersabar,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Josue yang baru-baru ini kembali bersuara mengenai masalah tunggakan gaji tujuh bulan dialaminya.
Khalid yang meletak jawatan selaku Presiden KLFA pada Mac lepas mendedahkan permainan politik di dalam pengurusan kelab itu turut membuatkan dia terpaksa mengorbankan jawatan demi melihat pasukan pernah berada di bawah naungannya itu meraih keadilan.
“Seperti sedia maklum, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat penukaran jadual Liga Malaysia musim ini, maka tiga bulan terawal, tiada perlawanan atau latihan.
“Keadaan ini mencabar dan merumitkan keadaan bagi membayar gaji para pemain yang tertunggak pada tiga bulan terakhir tahun lalu dan kita telah mendapat amaran daripada MFL,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata wang sebanyak RM3 juta telah diterima bagi menyelesaikan masalah gaji tertunggak (tiga bulan terakhir tahun lepas) selepas peletakan jawatannya sebelum ini.
“Namun, sekarang satu sen pun tidak dapat lagi kerana seseorang yang diingini untuk menjadi Presiden masih belum naik,” katanya.
Disebabkan keadaan itu, KL City kini menanggung semula masalah tunggakan gaji selama tiga bulan iaitu bermula April tahun ini.
Tiada masalah gaji sepatutnya berlaku pada Januari, Februari dan Mac kerana itu merupakan tempoh di luar musim liga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial