JOHOR BAHRU, 10 Jul (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor memperingatkan setiap peserta acara sukan khususnya yang dianjurkan di negeri itu supaya menjaga integriti terutamanya yang melibatkan penipuan bertujuan meraih kemenangan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata peringatan berkenaan diberikan susulan tular sejak semalam beberapa dakwaan dan komen di media sosial yang mempersoalkan kejayaan podium yang diraih oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata pada 7 Julai lepas, kejayaan Syed Saddiq pada acara 113 Triathlon Desaru 2024 diragui ramai komuniti sukan itu dan mengaitkan dengan isu teknikal.
“Sehubungan dengan itu, saya telah membuat semakan dengan pihak penganjur dan Syed Saddiq tidak membuat pusingan U mengikut laluan ditetapkan dan penyertaannya diisytihar sebagai tidak menghabiskan larian.
“Ahli Parlimen Muar itu juga dilihat sudah membuat dua video penjelasan, pertama mempertahankan dan kononnya menunjukkan bukti bergambar serta data dari pasukan teknikal penganjur. Kemudian beliau membuat satu lagi video pusingan U mendakwa wujud kesilapan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Mohd Hairi berkata disebabkan penyertaan Syed Saddiq diisytiharkan sebagai tidak menghabiskan larian, kejayaannya memperoleh tempat ketiga pada acara berkenaan adalah terbatal.
Jelas Mohd Hairi lagi, pihak kerajaan negeri mengambil serius perkara yang melibatkan integriti dalam sukan dan meminta penganjur pertandingan sukan, khususnya acara besar dan bertaraf antarabangsa untuk menyenarai hitam peserta yang terbukti melakukan penipuan dalam pertandingan.
“Ini bagi memastikan kredibiliti penganjuran acara berkenaan tidak terjejas oleh insiden seperti itu dan dalam masa yang sama kerajaan negeri Johor menyokong acara seumpama ini.
“Saya tidak mempunyai masalah berkenaan penyertaan dan kebolehan mana-mana pihak untuk menyertai sebarang acara sukan yang dianjurkan di Johor, namun ditegaskan isu integriti adalah perkara serius dan tidak akan diberikan kompromi.
“Diharap, semua penggiat dan penggerak komuniti sebarang sukan dapat memastikan perkara ini tidak berlaku lagi bagi membolehkan keharmonian serta semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat dapat disemarakkan lagi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial