Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Pemula niaga teknologi perhubungan awam (PR) tempatan, PubliCT.io telah memperkenalkan ESGNewslytics.AI, sebuah platform yang direka untuk menambah baik kaedah syarikat menganalisis liputan berita berkaitan topik tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG).
Ketua Pegawai Eksekutif, Manminder Kaur Dhillon berkata ESGNewslytics.AI, dilengkapi dengan algoritma kecerdasan buatan (AI) termaju bagi memenuhi keperluan khusus komunikator, pelabur dan pengawal selia.
“Dengan menganalisis data berita ESG yang meluas, ia memberikan pandangan masa nyata, analisis sektor serta industri secara menyeluruh dan terperinci, dengan tumpuan pada topik ESG yang penting,” katanya semasa majlis pelancaran di sini hari ini.
Manminder menjelaskan platform analitik itu akan menawarkan wawasan kritikal kepada syarikat untuk menilai semula dan menambah baik strategi ESG mereka.
Dengan menganalisis liputan media mengenai kata kunci ESG yang berkaitan, syarikat boleh mengukur keberkesanan inisiatif semasa mereka dan mengenal pasti bidang bagi penambahbaikan.
Bercakap kepada Bernama kemudian, Manminder berkata matlamat syarikat itu adalah untuk membantu syarikat tersenarai awam di Malaysia membina naratif ESG yang dipacu data.
Beliau juga menyeru agar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan platform tersebut.
“Kami menggalakkan PKS untuk mula membina naratif. Saya tahu ia mencabar kepada PKS kerana mereka masih mencari jalan tetapi syarikat yang akan mengambil mereka sebagai vendor, contohnya, CelcomDigi, akan mencari PKS yang sudah mengamalkan ESG.
“Jadi, jika PKS mahu membida kontrak atau menjadi rakan kongsi bagi syarikat yang lebih besar, mereka perlu membangunkan strategi ESG mereka,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial