AM

PROSEDUR PERMOHONAN TOL: MOHON DULU BARU TEROKA - SAARANI

11/07/2024 10:49 AM

IPOH, 11 Julai (Bernama) -- Tidak benar perlu teroka dahulu tanah kerajaan sebelum memohon Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk aktiviti pertanian, kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Saarani berkata adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang individu meneroka tanah milik kerajaan tanpa kebenaran.

“Tidak betul, kalau ada yang kata kena teroka dulu, baru mohon (TOL) dengan Pejabat Tanah (Pejabat Tanah dan Galian), kena mohon dahulu baru teroka tanah itu,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Noor Azman Ghazali (PN-Alor Pongsu) yang mahu tahu prosedur permohonan TOL bagi meneroka tanah kerajaan untuk aktiviti pertanian bertujuan membantu keterjaminan makanan negeri.

Noor Azman berkata terdapat kes petani telah meneroka terlebih dahulu tanah sebelum memohon TOL.

Menjawab lanjut, Saarani mengakui memang terdapat kes teroka terlebih dahulu, namun permohonan TOL biasanya diluluskan, tetapi petani tersebut akan dikenakan denda.

Sementara itu, menjawab soalan asal Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu) yang mahu tahu sama ada kerajaan negeri memudah dan mempercepat permohonan TOL, Saarani berkata tempoh pertimbangan kelulusan semua jenis tanah bagi kategori TOL, Pemberian Hak Milik atau Pajakan Tanah Rizab bergantung kepada penyediaan dokumen yang lengkap selain tertakluk laporan tanah serta ulasan agensi teknikal mengikut maksud permohonan dikemukakan.

“Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak juga sentiasa menambahbaik urusan memproses permohonan pelupusan tanah yang lebih cepat iaitu melibatkan pemendekan proses di dalam sistem e-Tanah untuk diaplikasikan di semua Pentadbiran Tanah Negeri Perak.

“Langkah ini dapat memastikan urusan pelupusan tanah disegerakan dalam mencapai objektif Dasar Sekuriti Makanan di negeri Perak,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan