AM

Apad Batal Lesen Pengendali Syarikat Bas Terlibat Kemalangan Di Genting Highlands

11/07/2024 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah membatalkan lesen pengendali syarikat bas persiaran terlibat kemalangan di Jalan Genting Highlands yang mengorbankan dua pelancong China pada 29 Jun lepas.

Agensi itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan membatalkan lesen pengendali termasuk permit kenderaan syarikat M. Kumar Trans Tour Sdn Bhd dibuat Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL) pada Selasa lepas.

Menurut APAD, keputusan itu dibuat selepas syarikat berkenaan didapati gagal mematuhi syarat lesen mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan pemanduan secara berbahaya.

"Semakan dengan agensi berkaitan juga mendapati syarikat turut mempunyai rekod saman lampau yang tinggi. Sebarang transaksi berhubung dengan lesen pengendali bagi syarikat berkenaan tidak akan dibenarkan berkuat kuasa serta-merta.

"Tindakan ini diharap menjadi pengajaran dan peringatan kepada pengendali lain untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara melibatkan hal-hal keselamatan," menurut kenyataan itu.

APAD juga mengingatkan mana-mana syarikat agar sentiasa memantau prestasi dan kebajikan pemandu kenderaan masing-masing dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

"APAD tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain," menurut kenyataan itu.

Dalam kemalangan itu, dua lelaki warga China maut manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di Kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.

Pada 3 Julai lepas, pemandu bas persiaran berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Raub, Pahang atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya dan tiada lesen memandu sehingga menyebabkan kematian.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan