AM

JAGA KEHARMONIAN, BERIKAN SUMBANGAN KEPADA AGAMA DAN NEGARA - PEMANGKU RAJA PERLIS

12/07/2024 12:36 AM

PADANG BESAR, 11 Julai (Bernama) -- Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat untuk menjaga keharmonian, menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan peraturan serta menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Bertitah merasmikan majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri 1446H/2024M di sini malam ini, baginda menekankan supaya setiap rakyat Perlis hendaklah berusaha mencapai keharmonian walaupun wujud kepelbagaian latar belakang.

“Sikap bertoleransi, saling memaafkan, sentiasa menepati dan melaksanakan tanggungjawab serta santun hendaklah dibudayakan. Yakinlah, aset utama paling bernilai yang kita ada ialah perpaduan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah setiap warganegara juga perlu menjunjung dan berpegang teguh dengan perlembagaan, undang-undang dan peraturan kerana di situ terletaknya kunci keadilan dan penyatuan selain sumber keharmonian dan kesejahteraan hidup.

"Setiap orang hendaklah mengetahui kebolehfungsian yang ada dalam dirinya dan disesuaikan dengan persekitaran sekeliling dalam usaha memberikan sumbangan dan usaha demi agama, bangsa dan negara serta mengutamakan kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi.

"Nikmat hidup itu pada memberi dan sumbangkanlah sesuatu, walaupun kecil ia tetap menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan umat seluruhnya," titah baginda.

Dalam pada itu Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah agensi-agensi agama negeri perlu terus berusaha mempertingkatkan tahap profesionalisme dan menggiatkan usaha pembangunan kerohanian masyarakat sama ada berbentuk pengisian ilmu, pengimarahan masjid dan sebarang aktiviti seumpamanya.

Baginda bertitah penghayatan peristiwa hijrah dalam sirah juga perlu diterapkan kepada ummah, bermula dengan pejabat kerajaan, masjid, surau, institusi pengajian tinggi, sekolah dan medium lain termasuk pusat pemulihan supaya penghijrahan minda, adab dan budaya warga Perlis terlaksana secara sekata dan bersepadu.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri kepada Datuk Wan Ariff Wan Hamzah yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Turut berangkat pada majlis di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan