AM

Tony Parker Diumum Duta Global Kempen Olimpik Paris 2024 Alibaba.com

12/07/2024 09:58 AM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Alibaba.com mengumumkan atlet olimpik dan juara NBA empat kali Tony Parker sebagai Duta Global untuk kempen kreatif “Pemain Sama, Permainan Baharu” bagi Sukan Olimpik Paris 2024.

Alibaba.com dalam kenyataan menyebut kempen itu akan meningkatkan kesedaran tentang peluang bagi para atlet dan atlet Olimpik untuk beralih daripada kejayaan sukan kepada keusahawanan.

Sebagai Duta Global, Parker akan menyerlahkan betapa mudahnya usahawan yang bercita-cita tinggi termasuk atlet dan bekas atlet dapat menubuhkan perniagaan mereka sendiri, mewujudkan rantaian bekalan dengan pembeli dan penjual dari seluruh dunia serta memacu pertumbuhan jangka panjang melalui Alibaba.com.

“Sejak bersara daripada sukan profesional, saya menumpukan seluruh tenaga untuk menjalankan perniagaan sendiri. Saya merupakan pembeli tetap di Alibaba.com dan telah melihat sendiri nilai besar yang boleh dicipta melalui perhubungan dengan pembekal dan mendapatkan produk dengan cekap melalui platform digitalnya yang inovatif.

“Kini dalam peranan saya sebagai duta Alibaba.com, saya akan menggunakan pengalaman peribadi untuk membantu para atlet lain memulakan perjalanan keusahawanan mereka dan menikmati kejayaan yang bermakna dalam kerjaya kedua,” katanya dalam kenyataan itu.

Parker yang mencapai peringkat suku akhir Bola Keranjang Lelaki bersama Perancis di Sukan Olimpik Rio 2016 dan mewakili pasukan NBA All-Star sebanyak enam kali, menjadi usahawan dan pelabur bersiri yang berjaya merapatkan jurang antara sukan dengan perniagaan.

Menurut kenyataan itu Parker akan disertai bekas pemain profesional Persatuan Tenis Wanita (WTA) Simona Galik Moore dan penunggang basikal gunung yang memegang Rekod Dunia Guinness Elias Schwärzler, kedua-duanya menggunakan Alibaba.com sebagai bahagian penting dalam perniagaan mereka.

Mereka akan berkongsi butiran lanjut tentang perjalanan daripada bintang sukan kepada usahawan menjelang temasya Sukan Olimpik termasuk pada acara sidang media berprofil tinggi yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai ini di Paris.

Alibaba.com ialah rakan kongsi perkhidmatan e-Dagang rasmi Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam pada itu Ketua Pemasaran Global Alibaba.com Liz Wang dalam kenyataan sama berkata ketiga-tiga individu itu ialah contoh yang membanggakan bagi peralihan bidang sukan kepada perniagaan.

“Untuk mencapai kemuncak sukan, anda perlu bermotivasi kendiri, berdisiplin, berdaya tahan dan berdaya saing, semua ciri ini turut diperlukan untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan