JENAYAH & MAHKAMAH

Pemilik Akaun Hilang Lebih Rm2 Juta, Petugas Bank Disyaki Terlibat Ditemukan Mati

12/07/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Dua pelanggan sebuah bank tempatan di Kuala Kangsar, Perak  kehilangan wang lebih RM2 juta daripada akaun simpanan tetap milik mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata semakan lanjut oleh pihak bank mendapati seorang petugas mereka telah mengeluarkan duit itu dan memasukkannya ke beberapa akaun simpanan berbeza.

Bagaimanapun beliau berkata petugas terlibat telah ditemukan meninggal dunia pada 5 Julai lepas.

Mengulas lanjut, Ramli berkata pihak bank berkenaan membuat laporan polis pada 9 Julai lalu setelah dua pemilik akaun terlibat mengadu sebahagian duit mereka dikeluarkan selain akaun ditutup.

“Pemilik akaun menyedari kejadian itu ketika hendak membuat pengeluaran wang pada 27 Jun dan menafikan ada melakukan pengeluaran wang daripada akaun berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata meskipun suspek utama telah meninggal dunia, namun polis sedang mengesan beberapa individu bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata pihaknya menahan 65 individu selepas disyaki terlibat kegiatan ‘calling centre’ bagi penipuan pelaburan pertukaran wang asing (Forex) dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Hang Tuah di sini pada 2 Julai lepas.

Beliau berkata mereka terdiri daripada 25 lelaki dan 26 wanita tempatan, sembilan wanita warga Vietnam, Bangladesh, China dan Thailand serta lima lelaki warga Hong Kong, China dan India berusia antara 20 hingga 50 tahun.

“Polis sedang bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan pelaburan bagi menentukan kesahihan syarikat yang mengendalikan platform pelaburan ini,” katanya.

Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan