AM

RUU MUFTI: JEMAAH MENTERI DIMAKLUM MENGENAI TITAH RAJA PERLIS - FAHMI

12/07/2024 05:33 PM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail yang tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata titah itu akan diteliti oleh Perdana Menteri sebelum dirujuk kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja minggu depan. 

“Ini semua (titah dan pandangan) menjadi garis panduan untuk kita memastikan rang undang-undang tersebut mencapai maksud dan hasrat asal,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini. 

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan sebuah portal bahawa Tuanku Syed Sirajuddin bertitah tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong rang undang-undang itu yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar pada 2 Julai lepas. 

Baginda dilaporkan bertitah demikian menerusi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kemudian membuat hantaran di laman Facebook.

Semalam, Anwar berkata perincian berkaitan RUU itu mungkin dirujuk kepada Majlis Raja-Raja dan buat masa ini, ia di peringkat perbincangan oleh mereka yang pakar dalam bidang berkenaan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan