EKONOMI

MYEG PERLUAS PERKHIDMATAN ZTRADE UPAYAKAN DOKUMENTASI DIGITAL RENTAS SEMPADAN

12/07/2024 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- MY E.G. Services Bhd (MYEG), pembangun aplikasi Zetrix dan Web 3 berkaitan termasuk ZTrade, mengumumkan perluasan liputan dengan menyertakan pengesahan digital Sijil Asal (COO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC).

ZTrade ialah platform Web 3 yang memudahkan dagangan barangan rentas sempadan dengan China.

Syarikat itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata penambahbaikan itu akan menjadikan ZTrade platform pertama yang boleh mengesahkan dan membuat penukaran dokumen perdagangan digital pada blockchain Zetrix, perkhidmatan kemudahan rentas sempadan dua hala untuk perdagangan dengan China.

“Dengan pengaktifan ZTrade baru-baru ini, dokumen perdagangan utama berkaitan eksport keluar dari Malaysia yang diserahkan secara digital melalui platform itu akan diiktiraf secara rasmi oleh GACC, membuka jalan kepada pengguna untuk menikmati akses lorong hijau bagi proses dan pelepasan perdagangan yang lebih pantas.

"Dokumen ini termasuk COO yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Sijil Fitosanitasi dan sijil produk lain yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan," katanya.

MY E.G. menerima notifikasi daripada GACC melalui agensi milik penuhnya East Logistic-Link Co Ltd untuk mengembangkan skop ZTrade dengan menyertakan pengesahan COO yang dikeluarkan oleh GACC dalam bentuk Bukti Kelayakan Boleh Disahkan pada blockchain Layer1 Zetrix.

“Perkhidmatan ini boleh digunakan oleh pihak berkuasa dari negara yang mengimport dari China untuk mempercepatkan pelepasan kastam kerana tidak lagi memerlukan pengesahan dokumen manual.

“Selain itu, syarikat yang menyediakan perkhidmatan kemudahan perdagangan, seperti syarikat perkapalan dan institusi pembiayaan perdagangan, juga boleh memanfaatkan sistem ini dan membolehkan kontrak pintar dilaksanakan untuk mengautomasikan proses dan transaksi perdagangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan