EKONOMI

Hanya 18 Peratus Dalam 13 Sektor Terima Pemarkahan Esg - Bursa Malaysia

12/07/2024 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Hanya 18 peratus daripada jumlah syarikat dalam 13 sektor ekonomi termasuk yang berada di Pasaran ACE diberi markah alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh empat agensi penarafan, kata Bursa Malaysia Bhd.

Empat agensi penarafan itu adalah MSCI, S&P Global, Bloomberg dan Sustainalytics.

Dalam kemas kini pasaran ESG bertajuk "Melihat liputan ESG Syarikat Senaraian Awam Malaysia" yang disiarkan oleh Bursa Malaysia menerusi platform media sodial X hari ini, ia berkata syarikat dengan modal pasaran yang lebih besar menerima lebih banyak liputan ESG.

“Tiga indeks terbesar iaitu utiliti, kewangan dan telekomunikasi, memperoleh lebih 50 peratus liputan setiap satu manakala Pasaran ACE hampir tiada liputan.

"Daripada 181 syarikat, hanya dua syarikat ACE mendapat pemarkahan ESG," katanya.

Bursa Malaysia berkata dengan menerima pendedahan kemampanan, syarikat senaraian awam (PLC) boleh meningkatkan daya tahan dan daya saing keseluruhan mereka seterusnya dilihat sebagai pelaburan yang menarik.

Sebaliknya, Ia berkata agensi-agensil penarafan boleh meningkatkan liputan ESG bagi syarikat bermodal pasaran yang lebih rendah.

“Selain tahap liputan yang rendah, pelabur bimbang dengan metodologi penarafan ‘black box’ dan kekurangan ketelusan.

“Pelabur juga lebih menggemari firma penarafan ESG dengan pendekatan aktif dan penglibatan syarikat lebih mantap berbanding penilai ESG pasif yang bergantung semata-mata kepada pendedahan awam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan