KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperuntuk RM50,000 bagi penganjuran aktiviti berkaitan kesusasteraan di peringkat institusi pengajian tinggi.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ia demi memperbanyak aktiviti sedemikian menerusi kerjasama dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dalam usaha membina keperibadian dan jati diri masyarakat.
"Satu daripada bentuk pembinaan jati diri ialah dengan kembali menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain elemen kebudayaan dan juga kesusasteraan yang berhubung kait dengan latar belakang segala-galanya.
"Lantaran itu kita akan menganjurkan beberapa program yang berkaitan seperti sayembara puisi," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Puisi Kebangsaan anjuran GAPENA di sini malam ini yang turut dihadiri Presiden gabungan itu Datuk Zainal Abidin Borhan.
Pada majlis itu, penyair serta pendeklamasi terkemuka tanah air Puzi Hadi dan Marzuki Ali telah dinobatkan sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2024.
Zambry juga berkata sehubungan itu, penganjuran aktiviti kesusasteraan tidak terhad kepada institusi pengajian tinggi awam sahaja malah terbuka kepada semua cabang pendidikan di bawah naungan KPT.
"Ia akan melibatkan semua. Kita tidak menghalang hanya satu pihak tapi akan buka kepada institusi pengajian tinggi swasta serta semua cabang yang ada dalam KPT seperti politeknik dan kolej komuniti," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial