Oleh Rosmalis Anuar
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Berangkat ke pejabat seawal 7 pagi menjadi antara rutin Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi menyemak laporan penting yang dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda, kata Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.
Meluahkan rasa kagum terhadap disiplin Sultan Ibrahim, Azuan Effendy berkata selama enam bulan berkhidmat dengan Seri Paduka Baginda, ketepatan masa sangat dititikberatkan dalam kalangan pegawai Istana Negara.
"Saya fikir ini (tahap disiplin) tidak terjadi dengan sendiri, tentulah ia kerana latar belakang Seri Paduka Baginda sendiri seorang Raja yang melalui latihan ketenteraan. Seri Paduka Baginda pernah berada di Fort Benning, Amerika Syarikat melalui latihan ketenteraan yang begitu lasak.
"Seri Paduka Baginda membuat banyak penerjunan, lebih 20 kali. Bukan hanya penerjunan pada waktu siang tetapi juga pada waktu malam dan Sultan Ibrahim sendiri pernah mengalami beberapa kemalangan," katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Istiadat Pertabalan Payung Mahkota; Daulat Bertakhta yang disiarkan Bernama TV malam tadi.
Turut serta dalam program itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17.
Azuan Effendy berkata keperibadian Sultan Ibrahim juga bertitik tolak daripada didikan Ayahanda Seri Paduka Baginda Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang mengutamakan disiplin.
"Walaupun Seri Paduka Baginda merupakan anakanda Sultan, tetapi duit perbelanjaan tidak diberikan oleh Paduka Ayahanda dan Sultan Ibrahim terpaksa menjual botol di kedai untuk mendapatkan wang.
"Akhirnya dengan wang itulah Seri Paduka Baginda membeli Basikal Chopper yang akan ditunjukkan semasa Pameran Raja Kita di Muzium Negara pada 25 Julai," katanya.
Mengenai Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara pada 20 Julai ini, Azuan Effendy berharap ia dapat mendekatkan lagi institusi beraja dengan masyarakat, sekali gus menerapkan perasaan taat setia kepada raja dan negara terutama dalam kalangan generasi muda.
Sebagai individu termuda yang menjawat jawatan Datuk Paduka Maharaja Lela, beliau berbangga diberi peluang mengendalikan istiadat berkenaan dan berharap anak muda yang lain juga berminat mendalami dan mempertahankan institusi beraja di negara ini.
"Saya selalu andaikan hubungan Raja dan rakyat ini umpama pohon dan akar. Raja adalah pohon dan rakyat akarnya. Akar perlu kuat barulah pohon itu akan berada dalam kedudukan yang teguh dan apabila pohon itu teguh ia akan merimbun, menaungi rakyat dalam keadaan penuh aman dan sentosa," katanya.
Sementara itu Fahmi turut berharap istiadat itu diraikan setiap lapisan umur terutamanya generasi muda bagi menunjukkan Malaysia berada di bawah payung Raja-Raja Melayu yang menjadi titik rujukan dari segi semangat hidup kenegaraan.
"Saya minta istiadat ini ditayangkan di rumah supaya ibu bapa ajak anak-anak tengok. Kalau kita dapat bagi rasa kagum mengenai institusi beraja, itu saya harap akan membuatkan generasi muda faham ada satu ketinggian, ada satu konsep yang mana kita meletakkan penghormatan tertinggi kepada institusi Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial