AM

Ipoh Town Hall Bakal Jadi Pusat Unggul Aktiviti Seni

13/07/2024 09:45 AM

Oleh Muhamad Azhar Tajuddin

IPOH, 13 Julai (Bernama) -- Dewan Bandaraya Ipoh atau Ipoh Town Hall, bangunan kolonial British berusia 108 tahun yang terletak di tengah-tengah bandar ini bakal berubah wajah menjadi pusat unggul aktiviti seni khususnya muzik dan tarian.

Bangunan berwarna putih yang pernah menjadi pusat pentadbiran British pada awal 1917 itu juga mampu memuatkan kapasiti maksimum sekitar 600 orang pada satu-satu masa.

Semuanya ini bakal direalisasikan di bawah projek Ipoh Heritage Tourism (IHT) pakej 2 seliaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam usaha memulihara bangunan warisan yang terdapat di bandar ini agar ia terus malar segar kepada masyarakat dan tidak terbiar begitu sahaja.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, projek menelan belanja lebih RM11 juta melalui peruntukan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu memberi tumpuan penuh kepada kerja-kerja baik pulih seni bina, struktur bangunan, sistem elektrikal dan mekanikal, audiovisual serta landskap.

“Projek ini adalah berkesinambungan dengan projek ITH pakej 1A melibatkan pembangunan di Ipoh Padang serta pakej 1B melibatkan Kinta Riverwalk yang siap sepenuhnya pada 8 Mac 2022.

“Bagi projek IHT pakej 2 ini pula, kerja pemuliharaan atau konservasi bermula sekitar 21 November 2022 dan siap sepenuhnya pada 20 Mei lepas sepertimana ketetapan asal. Jangkaan kita awal tahun hadapan (2025) kita akan buka kemudahan ini kepada rakyat,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini.

Menurut Rumaizi, usaha tersebut bukan hanya akan mempergiatkan lagi industri muzik tanah air malah sejajar pengiktirafan Ipoh sebagai Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik tahun lalu.

Beliau berkata, dengan adanya fungsi khusus Ipoh Town Hall ini, ia bukan hanya membantu penggiat seni muzik di Perak untuk berkarya, malah menyediakan kemudahan sewaan kepada mana-mana pihak yang mahu menganjurkan konsert artis atau kumpulan seni budaya.

“Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat menjana pendapatan malah menawarkan kemudahan yang selesa dengan harga berpatutan kepada para penggiat industri muzik ini untuk mengadakan persembahan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Rumaizi berkata, pejabat pos lama yang bercantum dengan bahagian belakang bangunan Ipoh Town Hall itu pula bakal berubah menjadi balai seni negara terbesar di Malaysia di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).

Balai seni itu nanti, katanya, akan berperanan sebagai hab mengumpul dan mempamerkan koleksi hasil karya visual berbentuk lukisan, ukiran dan sebagainya termasuk dari luar negara.

“Kita rasa berbaloi untuk wujudkan (balai seni negara) ini walaupun diakui untuk permulaan, kemungkinan tarikan (pelancong) itu lambat. Cuma, kita kena sedar perkara seumpama ini permintaannya bertaburan di seluruh dunia. Jadi saya fikir dua atau tiga tahun lagi baru kita akan nampak hasilnya,” katanya.

Mengulas pembangunan sama dilakukan terhadap bangunan lama di Concubine Lane, Rumaizi berkata, lokasi yang turut dikenali sebagai Lorong Panglima oleh penduduk setempat itu adalah antara projek awal dilaksanakan MBI bagi memperkasa bidang pelancongan warisan.

Tambahnya, peruntukan berjumlah RM149,000 disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi  (UPEN) Negeri Perak bagi kerja-kerja baik pulih melibatkan 17 kediaman teres lama yang didiami sejak tahun 1908.

“Kerja-kerja baik pulih kita bermula pada 11 Januari 2016 dan siap sepenuhnya pada 29 Feb 2016, melibatkan pemasangan lampu, struktur lorong serta longkang kita lakukan setelah mendapat persetujuan pemilik asal kediaman tersebut.

“Lokasi ini ada aura atau nostalgia klasik ditambah dengan kawasannya yang dikelilingi bangunan lama, maka ia menjadi salah satu faktor yang menyebabkan ramai pelancong mengunjunginya,” katanya.

Tegas Rumaizi, keringat yang dicurahkan melalui pemuliharaan lokasi itu nyata berbaloi selepas MBI merangkul Anugerah Pencapaian Perancangan Cemerlang di Commonwealth Association of Planner (CAP) Awards pada penghujung November tahun lalu (2023).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MBI amat menghargai usaha semua pihak terlibat termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang banyak menyokong terutama dari sudut peruntukan serta khidmat nasihat.

“KPKT amat menggalakkan kita untuk terus melaksanakan usaha seumpama ini yang dilihat berpotensi untuk membuka mata orang ramai untuk mengenali Ipoh dengan lebih dekat,” katanya sambil berkata, MBI komited melaksanakan pemuliharaan bangunan lama di bandar raya ini yang dilihat mampu mempromosi Bandaraya Ipoh sebagai antara destinasi utama pelancongan warisan di negara ini.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan