AM

Komuniti Asean Antara Bakal Dibincang Di Mesyuarat Menteri Luar Asean

13/07/2024 05:09 PM

KOTA TINGGI, 13 Julai (Bernama) -- Konsep Komuniti ASEAN bagi 20 tahun akan datang antara yang bakal dibincangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Vientiane, Laos bermula minggu depan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia komited menjayakan Komuniti ASEAN bagi membolehkan negara-negara serantau meningkatkan kerjasama melibatkan pelbagai aspek dalam memastikan pembangunan ekonomi seimbang.

“Pelbagai perkara akan dibincangkan dalam mesyuarat dipengerusikan Laos selaku tuan rumah. Bermula tahun depan, konsep Komuniti ASEAN 10 tahun akan tamat dan Malaysia mahu perkenalkan konsep Komuniti ASEAN 20 tahun bermula 2025 hingga 2045.

"Matlamatnya adalah bagaimana menjadikan ASEAN sebagai satu komuniti besar bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga pembahagian tenaga, kesalinghubungan, infrastruktur dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Felda Sungai Sayong di sini hari ini. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mohamad berkata ASEAN mampu menjadi blok penting dalam sistem ekonomi global dengan pelbagai kelebihan dimiliki setiap negara anggota.

"Dengan penduduk lebih 600 juta berserta nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kelima terbesar dan bakal menjadi keempat terbesar dunia dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, ini merupakan asas untuk kita bina masa depan sebagai kesatuan negara-negara tetapi masih mempunyai kedaulatan masing-masing.

"Hubungan dan kerjasama baik negara-negara ASEAN penting bagi memastikan keamanan dan ketenteraman di rantau ini tidak tergugat oleh mana-mana negara kuasa besar lain khususnya melibatkan isu kawasan Laut China Selatan," katanya.

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan mesyuarat berkaitan di Vientiane dijadual berlangsung dari 21 hingga 27 Julai ini.

Dalam pada itu Mohamad berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 telah menyusun atur 257 mesyuarat yang tidak hanya tertumpu di ibu negara tetapi melibatkan Johor, Pulang Pinang, Kedah, Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan