POLITIK

Umno Terengganu Perlu Berubah Fokus Tangkis Persepsi, Tohmahan - Ahmad Zahid

13/07/2024 08:24 PM

JERTIH, 13 Julai (Bernama) -- UMNO Terengganu perlu berubah dengan memberi tumpuan untuk menyusun strategi bagi menangkis pelbagai persepsi dan tohmahan sekiranya berhasrat menyemarakkan semula parti di negeri itu. 

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perubahan itu perlu bermula daripada tumpuan parti yang sebelum ini yang terlalu memfokus kepada politik pembangunan dan perkhidmatan. 

"Apa rancangannya?... tiada parti lain yang beri pembangunan dan perkhidmatan kecuali Barisan Nasional di Terengganu.

"Apa sahaja kehendak rakyat akan disantuni oleh kepimpinan UMNO tapi kita masih kalah... jelas ditolak sebab kita masih belum berubah… di minda pengundi ialah persepsi, isu dan sentimen," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Kem Seri Keluang di sini hari ini.

Justeru, beliau menggesa kepimpinan UMNO Terengganu agar memanfaatkan media sosial sebaik mungkin dan tidak terlalu bergantung kepada media tradisional semata-mata. 

"Kaedah kita kena berubah. Isu kita kena tangani. Akuilah kita kecundang... tidak ada satu kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri Terengganu kita menang. 

"Dalam keadaan itulah saya ulangi kita boleh kekal tapi jangan terlalu fokus politik pembangunan dan perkhidmatan sebaliknya kena tangani isu yang selama ini dibaling ke arah kita dan kita diam," katanya. 

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga tidak menafikan bahawa kekalahan UMNO adalah disebabkan kelemahan parti ekoran wujudnya isu di peringkat dalaman sekali gus menidakkan kekuatan pihak lawan yang memungkinkan kemenangan mereka. 

Ahmad Zahid turut memberi jaminan tidak akan mendiamkan diri dan akan terus memperjuangkan nasib bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Selagi saya menjadi Presiden, saya akan terus perjuangkan nasib Datuk Seri Najib. Isu timbul apabila orang UMNO sendiri timbulkan masalah... kata UMNO cakap tak serupa bikin padahal kita yang usahakan... ada yang saya tidak boleh ceritakan secara umum apa yang kita buat. 

"Cukuplah saya dan rakan-rakan tidak akan berhenti perjuangkan nasib beliau," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan