POLITIK

Hamzah Zainuddin Dicadang Sebagai Timbalan Presiden Bersatu

13/07/2024 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) --  Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dicadang untuk memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu yang bakal berlangsung Oktober depan.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat selepas beliau bertemu kepimpinan tertinggi parti beberapa minggu lepas dan ia turut dipersetujui oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang memegang jawatan tersebut.

"Datuk Peja sedia berundur setapak ke belakang untuk menawarkan jawatan itu serta tidak bertanding untuk Timbalan kerana memberikan ruang dan peluang kepada Datuk Hamzah," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Bersatu di sini hari ini.

Bagi Setiausaha Agung pula, parti itu mencadangkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata biarpun calon bagi jawatan itu telah dicadangkan namun pertandingan  masih terbuka kepada ahli parti yang lain.

Bersatu akan mengadakan pemilihan parti dari 12 hingga 26 Okt ini yang menyaksikan ahli dan perwakilan memilih pemimpin di semua peringkat.

Mengulas mengenai keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang mengekalkan enam Ahli Parlimen bekas ahli parti itu sebagai wakil rakyat, Muhyiddin berkata Bersatu telah melantik peguam untuk meneliti perkara tersebut.

"Kita akan kaji dari sudut Perlembagaan, Akta Lompat Parti dan sebagainya. Kita ada lagi tempat yang kita boleh mengadu iaitu mahkamah," katanya.

Baru-baru ini Muhyiddin mengesahkan telah menerima surat daripada Johari pada 9 Julai yang menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk enam kerusi Parlimen bekas ahli parti itu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri. 

Ahli Parlimen yang terkait dengan isu itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). 

Sementara itu, Hamzah dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan seramai 123 ahli Bersatu telah terhenti keahlian masing-masing termasuk enam yang diserahkan notis pada 12 Jun lepas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan