KOTA BHARU, 13 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini melancarkan direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) di Tumpat bagi membantu kumpulan sasar dalam komuniti setempat.
Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff berkata direktori itu akan menjadi dokumen rujukan Ketua CBO yang dilantik bagi mempercepat tindakan.
"Usaha ini bagi membendung peningkatan kes yang menjejaskan kumpulan sasar seperti kanak-kanak, golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas serta mangsa keganasan rumah tangga.
"Ini berdasarkan kepada prinsip bahawa tugas melindungi serta menjaga keselamatan dan kebajikan golongan tersebut adalah tanggungjawab bersama," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata program itu adalah usaha KPWKM untuk memperkasa pengetahuan dan kemahiran ahli komuniti CBO di Tumpat sebagai rakan strategik dalam membantu menyantuni kumpulan terbabit.
Terdahulu, Maziah bersama sukarelawan Khidmat Bantu Dirumah (KBDR) menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada pelanggan program sosial itu.
Beliau berkata KBDR adalah program berkonsepkan kebajikan yang memberi khidmat sokongan kepada warga emas dan OKU terutama mereka yang tinggal bersendirian atau bersama ahli keluarga di rumah yang kurang berkemampuan.
"Sukarelawan yang memberi perkhidmatan KBDR adalah berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan terlatih.
"Antara perkhidmatan yang diberikan ialah membantu klien menguruskan diri, menjadi rakan berbual, menjalankan aktiviti riadah dan urusan berkaitan mendapatkan rawatan di klinik atau hospital," katanya.
Maziah turut menyeru komuniti setempat agar memanfaatkan perkhidmatan talian kasih bagi bantuan awal kes-kes penderaan, keganasan rumah tangga atau pengabaian yang melibatkan anggota komuniti khususnya kanak-kanak dan wanita.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial