POLITIK

Prk Nenggiri: Umno Gua Musang Kemuka Nama Tiga Calon Muda

13/07/2024 09:33 PM

GUA MUSANG, 13 Julai (Bernama) -- UMNO Gua Musang menyenaraikan nama tiga calon muda untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi memilih individu yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata keputusan itu dilakukan berdasarkan kriteria yang diinginkan parti, selain mengambil kira faktor pengundi daripada golongan muda di DUN Nenggiri sebanyak 62.5 peratus.

"Kita rasa orang muda patut ambil bahagian dalam PRK DUN Nenggiri ini. Kita yakin keputusan ini tepat kerana sebanyak 62.5 peratus pengundi terdiri daripada golongan muda. 

"Kita telah mencadangkan tiga nama yang kesemuanya adalah calon muda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini hari ini.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan