Oleh Atira Khalisha Nor Adnan & Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Kejayaan Ummi Umairah Saiful Anuar menjuarai kategori Junior Champion Vocalist Of The World di World Championships of Performing Arts (WCOPA) ke-27 pada awal bulan ini, membawa makna yang sangat besar kepada negara.
Kemenangan itu bukan hanya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, lebih-lebih lagi diterima ketika negara bakal meraikan Hari Kebangsaan bulan depan, tetapi turut membuktikan yang industri seni suara negara tidak ketandusan bakat berkualiti antarabangsa.
Hakikatnya, kemampuan si dara sunti berusia 13 tahun ini menjulang pingat emas di acara berprestij yang berlangsung di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat pada 6 Julai lepas itu bukanlah calang-calang kerana dia juga menamatkan “kemarau” hampir 10 tahun.
Kali terakhir wakil negara menjuarai kategori vokal WCOPA adalah pada 2014 menerusi Aina Abdul yang melantunkan lagu Semalam dalam kategori senior.
Mengulas kemenangan Ummi Umairah, atau mesra disapa Umai, ibunya Siti Sairah Taruddin memberitahu Bernama yang beliau berharap peminat industri dapat melihat pencapaian Umai itu adalah atas usaha sendiri.
“Umai menang sebagai juara atau Grand Champion dalam kategori Vocal Junior, (iaitu) kemenangan keseluruhan. Daripada 30 negara yang bertanding, Umai muncul sebagai juara.
“Tidak dinafikan sejak Umai terlibat dalam dunia nyanyian ketika berusia empat tahun, orang selalu kaitkan dia dengan emak saudaranya Mak Iti (Datuk Seri Siti Nurhaliza). Memang tidak dapat elak sebab bersaudara, tetapi kemenangan ini membuktikan Umai sebenarnya berbakat,” kata Siti Sairah.
Beliau yang ditemui selepas menemani Umai menjadi tetamu program Darah Muda terbitan Bernama TV di sini, turut menegaskan bahawa beliau tidak akan mengabaikan aspek pendidikan anaknya itu di sebalik kemenangan yang diraih.
Sementara itu, Umai berkata beberapa hari sebelum berentap di WCOPA, dia diuji dengan demam panas yang menyebabkannya kehilangan suara dan terpaksa berlatih dengan nada rendah, sekali gus membataskan kemampuannya.
Namun, situasi itu tidak mematahkan semangatnya yang mengambil pelbagai langkah termasuk berjumpa doktor bagi meningkatkan tahap kesihatan sehingga akhirnya pulih dan seterusnya memberikan persembahan terbaik pada pertandingan tersebut.
Mempertaruhkan lagu A Natural Woman nyanyian Aretha Franklin di pentas akhir, bintang remaja ini tidak menyangka tuah memihak kepadanya kerana dia hanya sempat berlatih selama dua minggu sebelum ke pertandingan itu yang juga kemunculan sulungnya di pentas antarabangsa.
“Alhamdulillah, saya sangat teruja kerana dapat mewakili Malaysia dan menjuarai WCOPA. Saya sendiri tidak sangka boleh menewaskan peserta lain kerana mereka cukup hebat dan berbakat besar selain mempunyai pengalaman menyertai pertandingan nyanyian di peringkat tinggi.
“Semasa tengok siapa lawan saya, saya tanya diri sendiri, 'Boleh ke buat?’, tetapi saya ingat kata-kata Mak Iti (Siti Nurhaliza) untuk yakin dan percaya pada diri, dan akhirnya dapat buat hingga tahap ini,” katanya yang turut menjadikan artis antarabangsa Celine Dion, Whitney Houston dan Mariah Carey sebagai idola.
Menyambung cerita, Siti Sarah berkata dugaan yang dihadapi sebelum ke WCOPA itu bukan setakat isu kesihatan Umai, tetapi juga masalah dana.
“Pada awalnya, kami tidak jadi ke WCOPA sebab kena cari dana (sendiri), tetapi dalam masa dua minggu sahaja Allah permudahkan urusan apabila ibu saudaranya (Siti Nurhaliza) berbesar hati membantu dari segi dana,” kongsinya.
Pasukan Malaysia menamatkan saingan WCOPA ke-27 dengan 13 pingat emas, 11 perak dan 13 gangsa, selain turut merekodkan pencapaian terbaik menerusi 11 juara bahagian dan satu biasiswa belajar di New York Film Academy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial