AM

MAGIC MUSHROOM: KERAJAAN KELANTAN TUNGGU LAPORAN LENGKAP DARIPADA JPN

14/07/2024 03:16 PM

KOTA BHARU, 14 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan berhubung isu melibatkan pelajar sekolah menengah di negeri ini yang dikesan menghisap rokok elektronik (vape) yang dicampur magic mushroom.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pihaknya telah berhubung dengan JPN pada minggu lepas untuk mengenal pasti bilangan pelajar yang terlibat termasuk cara untuk mengatasi perkara itu daripada terus berleluasa.

Beliau berkata pada masa yang sama, pihaknya turut meminta pengurusan sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk menyelidik dan menyiasat sekiranya kegiatan berkenaan turut berlaku dalam kalangan pelajar di bawah seliaan yayasan itu.

“Benda ini (magic mushroom) benda baharu, kadang-kadang mereka (pelajar) tidak tahu ia bahan terlarang dan ibu bapa juga tidak boleh kesan dengan kewujudan vape ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2023 di Dewan Besar YIK, Bandar Baru Tunjung di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata untuk menangani kegiatan berkenaan, pihaknya juga akan membincangkan perkara berkenaan dengan jawatankuasa khas kerajaan Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan mengenai kajian yang dilaksanakan Hospital Universiti Sains Malaysia terhadap 152 pelajar di Kelantan.

Saifuddin Nasution berkata hasil kajian mendapati 65 peratus pelajar berkenaan dikesan terlibat menghisap rokok elektronik yang dicampur bahan dikenali sebagai magic mushroom, yang kesannya lebih menggerunkan daripada dadah jenis methamphetamine dan syabu.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli berkata kerajaan Kelantan telah memperuntukkan lebih RM8 juta membabitkan 16,388 pelajar menerusi Insentif Anugerah Kerajaan Kelantan sejak 2006.

“Setiap pelajar yang cemerlang menerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan juga Sijil Menengah Ugama (SMU) layak menerima sumbangan wang tunai bernilai RM500.

“Insentif ini bukan terhad kepada anak Kelantan sahaja, tetapi ia juga layak kepada anak Kelantan yang belajar di luar negeri ini. Kita harap dengan adanya insentif ini ia dapat memberi semangat untuk mereka terus kekal cemerlang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan