AM

Tambahan Peruntukan Felda Bukti Kerajaan Prihatin Keluhan Rakyat- Peneroka

14/07/2024 03:52 PM

SERDANG, 14 Julai (Bernama) -- Pengumuman tambahan peruntukan kepada warga Felda ialah satu lagi manifestasi keprihatinan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keluhan rakyat.

Ketua Peneroka Kebangsaan Felda Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata pengumuman Perdana Menteri itu juga sekali gus membuktikan segala isu boleh diselesaikan secara berhemah melalui proses rundingan.

“Secara umumnya saya menyambut baik apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri. Kita jangan mendesak, kita jangan kecam keputusan kerajaan ataupun maki hamun.

“Kita ada penyelesaian. Jalan penyelesaian yang kita bawa ialah secara berhemah, kita merayu kepada kerajaan. Alhamdulillah, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) mendengar rintihan kita. Tapi kita kena (kemukakan masalah) secara berhemah,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri berhubung peruntukan subsidi tambahan sebanyak RM100 juta kepada warga Felda bagi menampung peningkatan kos operasi ladang susulan penyasaran semula subsidi diesel, ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di sini hari ini.

Anwar dalam ucapannya turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM31.7 juta untuk 317 tanah rancangan Felda bagi Program Sejahtera Komuniti MADANI.

Sementara itu, Abu Hassan Abdul Manaf, 68, dari Felda Sungai Retang dalam Wilayah Jengka, Pahang meluahkan kegembiraannya susulan pengumuman Perdana Menteri itu.

Ketua blok peringkat empat Felda Sungai Retang itu berkata menerusi peruntukan berkenaan, pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan akan dapat dilaksanakan.

“Terima kasih Perdana Menteri kerana beri dana untuk seluruh Felda di Malaysia. Dapatlah kami membuat program atau aktiviti di tanah rancangan seperti program sosial untuk masyarakat, gotong-royong dan sebagainya,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Md Ghazali Ramlan, 63, dari Felda Lok Heng Timur di Kota Tinggi, Johor turut mengalu-alukan pengumuman berkenaan.

“(Peruntukan) ini dapat membantu generasi Felda pada peringkat bawah. Dengan pengumuman ini, macam-macam perkara kita boleh buat untuk Felda,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan