EKONOMI

Usaha Bersepadu Kerajaan Pacu Prestasi Ringgit Terus Mengukuh - Amir Hamzah

14/07/2024 04:33 PM

TUMPAT, 14 Julai (Bernama) -- Pelbagai usaha bersepadu kerajaan seperti galakan pendapatan langsung asing oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), hasil syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang dibawa balik ke Malaysia serta pemantauan penukaran hasil eksport dan import, dilihat membantu prestasi ringgit yang semakin mengukuh.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata prestasi mata wang itu juga bertambah baik dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini susulan strategi bersepadu kerajaan membabitkan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sehubungan itu, beliau yakin usaha sedemikian dan pengurusan fiskal yang efisien itu akan terus mendorong peningkatan ringgit pada separuh kedua 2024.

“Sepertimana yang kita lihat, prestasi (nilai) ringgit semalam berada pada sekitar 4.68 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan sudah semakin konsisten di bawah paras 4.70,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Amir Hamzah berkata sehingga Khamis lepas, ringgit juga berada di kedudukan pertama dalam kalangan negara serantau dengan mencatat peningkatan sekitar dua peratus manakala purata harian jumlah dagangan pasaran kewangan pula meningkat kepada US$17.6 bilion.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan