AM

KKDW MINTA PIHAK BERKAITAN KENAL PASTI INFRA LUAR BANDAR BELUM DIBAIK PULIH

14/07/2024 05:14 PM

ALOR SETAR, 14 Julai (Bernama) -- Semua pihak yang berkaitan diminta melakukan tindakan susulan mengenal pasti projek infrastruktur luar bandar yang terjejas akibat bencana banjir dan belum dibaik pulih untuk dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata KKDW menyedari terdapat rungutan daripada masyarakat berkenaan perkara itu dan pihaknya bersedia menyiasat serta menimbangkan semula sebarang cadangan atau permohonan untuk diambil tindakan.

“Kita tidak menafikan banjir ini banyak menjejaskan kehidupan dan infrastruktur, kadang-kadang emosi pun sama terjejas. KKDW sentiasa mengambil perhatian (perkara ini) apatah lagi melibatkan kawasan luar bandar.

“(Bagaimanpun) dalam permohonan segala cadangan akan dianalisis sebab sesuatu bantuan itu bukan melibatkan KKDW sahaja, ia juga di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) ke-12 dan pelancaran Tahfiz TVET 3.0 Kolej KEDA 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan masyarakat di daerah Baling khususnya di Kampung Iboi mengenai kerosakan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan akibat bencana banjir puing pada 2022 lepas, yang didakwa masih belum dibaik pulih.

Menurut Rubiah walaupun KKDW bertanggungjawab terhadap isu luar bandar khususnya infrastruktur, terdapat perkara yang membabitkan peruntukan bagi kawasan terjejas bencana turut diuruskan oleh kementerian dan jabatan lain.

Mengambil contoh program baik pulih atau membina semula rumah, Rubiah berkata ia memang menjadi tanggungjawab KKDW tetapi untuk membina semula rumah isu berkaitan tapak atau tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita juga ada kekangan peruntukan, namun apa sahaja yang dimaklumkan kepada kita akan disiasat, kalau relevan memang kita akan baik pulih,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 593 graduan Kolej KEDA menerima sijil masing-masing pada majlis tersebut  yang menghimpunkan graduan dari tahun 2019 hingga 2023.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan