KOTA KINABALU, 14 Julai (Bernama) -- Sebanyak 81 pesawah di 10 lokasi di Kota Belud telah menyertai Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi dengan mengoptimumkan penggunaan tanah dan amalan pertanian terbaik.
Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam kenyataan memaklumkan projek rintis program itu di Jawi-Jawi, Kota Belud bermula pada 2022 telah meningkatkan pengeluaran padi daripada 2.6 metrik tan per hektar (TM/Ha) kepada 4.2 TM/Ha atau 62 peratus yang merupakan peningkatan signifikan kepada pendapatan pesawah.
Menurut kenyataan itu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu telah merasmikan program itu untuk Kampung Kesapang Tengah di Kota Belud semalam melibatkan lebih 175 hektar kawasan sawah.
“Kejayaan program SMART SBB Ala Sekinchan Bernas membuktikan komitmen bagi mencapai matlamat pengeluaran beras tempatan di Sabah dan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara, terutamanya dalam subsektor beras, sentiasa mencukupi dan mampan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Bernas juga memaklumkan penambahan empat mesin baharu yang boleh digunakan oleh peserta SMART SBB Kota Belud dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi melalui teknologi mekanisasi ladang terkini.
“Ini merupakan sumbangan keseluruhan syarikat menjadikan kepada sembilan mesin dan dua set peralatan pertanian bernilai RM1 juta. Inisiatif ini juga antara lain bertujuan meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras di Sabah,” katanya.
Program SMART SBB Ala Sekinchan yang merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Bernas dan rakan kongsi lain kini mencakupi lebih 1,904 hektar di kawasan penanaman di 10 negeri memberi manfaat kepada 735 pesawah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial