AM

Fgv Lancar Rangka Kerja Lestari, Raih Manfaat Jangka Panjang

14/07/2024 06:47 PM

SERDANG, 14 Julai (Bernama) -- FGV Holdings Bhd (FGV) melancarkan Rangka Kerja Kelestarian terbaharu yang diperkasa, sekali gus mengorak langkah ke arah komitmen berterusan FGV terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Rangka kerja yang dilancarkan hari ini juga berdasarkan komitmen kelestarian FGV sedia ada dan meliputi lima teras - Pertumbuhan Ekonomi, Tadbir Urus, Sosial, Alam Sekitar dan Inovasi dan Teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Nazrul Mansor berkata pembaharuan ini termasuk mengenal pasti bidang tumpuan khusus di bawah setiap teras berdasarkan arah aliran semasa ESG.

Ini termasuk kecemerlangan operasi; hak asasi manusia dan piawaian buruh; kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman; pensijilan kelestarian, kebolehkesanan, penyumberan yang bertanggungjawab dan pengurusan rantaian bekalan; penglibatan dan pembangunan komuniti; tindakan iklim; tenaga boleh baharu dan pengurusan tenaga serta kepelbagaian biologi dan pengurusan tanah.

“Rangka Kerja Kelestarian ini adalah bukti dedikasi kami di FGV terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar.

“Kami percaya kerjasama pelbagai pihak boleh memberi impak positif kepada industri sawit dan sektor berkaitan, sekali gus memacu membina masa depan yang lebih baik untuk masyarakat dan negara,” katanya pada majlis pelancaran rangka kerja itu di sini, hari ini, bersempena Hari Peneroka Felda di Taman Agro Ekspo Pertanian Malaysia.

Pelancaran itu telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada majlis sama, Fadillah turut melancarkan program percubaan biodiesel B100 selama empat bulan, menjadikannya usaha pertama di Malaysia untuk menguji kebolehgunaan bahan api boleh baharu bagi lori tangki FGV. 

Beliau juga menyaksikan penyerahan sijil borang keahlian pekerja FGV kepada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW).

Sementara itu, FGV dalam kenyataannya berkata seiring dengan rangka kerja itu, kumpulan telah mempertingkat amalan buruhnya, termasuk memperkukuh dasar dan prosedur syarikat serta langkah usaha wajar untuk proses pengambilan, menyediakan infrastruktur dan kemudahan lebih baik seperti perumahan  pekerja.

Pada masa sama, FGV sedang membangunkan rancangan pengurangan Gas Rumah Hijau (GHG) bagi memenuhi sasaran jangka pertengahan serta jangka panjang syarikat.

Malah, seiring usaha mengurangkan pelepasan karbon, FGV menggunakan produk biojisim sisa pemprosesas daripada operasi FGV untuk menjana tenaga boleh baharu.

Berikutan itu, FGV kini mempunyai dua loji janakuasa biojisim yang mampu menghasilkan kira-kira 20 megawatt (MW) dan  28 loji biogas berkapasiti 15.4 MW untuk program Tarif Masukan (FiT).

 “Pengumpulan biojisim kelapa sawit yang diperolehi dari ladang-ladang FGV dan pekebun-pekebun kecil menjadikan FGV pemilik sumber biojisim terbesar dunia. Prospek ini membolehkan FGV menjana tenaga bio terbesar di Malaysia dan membawa perkhidmatan tenaga bio secara meluas untuk pengguna,” katanya.

Selain itu, katanya, FGV terus menumpukan program pemuliharaan dan telah menyelamatkan 86 ekor beruang madu setakat ini, termasuk 75 ekor yang dipulihkan dan dilepaskan.

Program itu turut menyaksikan pelepasan 16 ekor ungka ke hutan selepas berjaya menyesuaikan diri dengan habitat liar selain kelahiran 14 ekor anak tenggiling dalam kurungan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan