AM

HARI PENEROKA FELDA 2024 TARIK LEBIH 500,000 PENGUNJUNG

14/07/2024 08:22 PM

SERDANG, 14 Julai (Bernama) -- Sambutan Hari Peneroka Felda (HPF) 2024 mencatat kejayaan apabila berjaya menarik lebih 500,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

Pengarah Komunikasi Strategik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutan (Felda) Syirfan Indra Mitra Surya Hussin berkata kehadiran orang ramai yang menjangkaui sasaran menjadikan HPF 2024 sambutan Hari Peneroka terbaik dalam sejarah agensi itu. 

“Ini merupakan kali pertama sambutan Hari Peneroka dilaksanakan selama tiga hari dan ia berjaya mencapai sasaran kehadiran.

“Insya-Allah, ini akan menjadi satu penanda aras kepada generasi baharu Felda dan sambutan yang akan datang,” katanya mewakili pengurusan Felda pada sidang media penutupan HPF 2024 di sini hari ini.

Sambutan itu, yang bermula Jumaat lepas di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), menyasarkan kehadiran peneroka Felda, generasi baharu agensi tersebut dan orang ramai. 

Syirfan berkata Felda juga berjaya menganjurkan HPF 2024 mengikut peruntukan yang ditetapkan iaitu RM3 juta dengan bantuan tajaan syarikat swasta dan kementerian berkaitan. 

Beliau berkata Felda sedia bergabung dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperbesar sambutan Hari Peneroka Felda pada tahun hadapan. 

“Pelaksanaan tahun hadapan akan jauh lebih besar, kami akan bekerjasama dengan KKDW dan mengadakan sambutan bersekali dengan Karnival Usahawan Desa dengan sasaran pengunjung dua juta orang,” katanya. 

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penganjuran Karnival Usahawan Desa dan Hari Peneroka Felda akan digabung pada tahun depan di bawah kendalian KKDW.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan