POLITIK

Prk Nenggiri: Pemuda Umno Rangka Strategi Tarik Undi Golongan Muda

14/07/2024 07:35 PM

TASEK GELUGOR, 14 Julai (Bernama) -- Pemuda UMNO sedang merangka strategi bagi memastikan undi golongan muda berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan datang.

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata sayap UMNO itu akan berusaha sehabis baik untuk merampas semula kerusi DUN Nenggiri pada PRK terbabit.

"Pilihan raya ini mempunyai seribu satu kemungkinan. Hari ini kita boleh kalah, lusa boleh menang. Jadi, sudah tentu kita ada strategi kita yang tersendiri. Kita akan berusaha sehabis baik untuk merampas semula Nenggiri kerana sebelum ini pun kita kalah dengan hanya 800 majoriti, dan sebelum itu pun memang Nenggiri adalah kerusi UMNO," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sudah mengenal pasti calon daripada ahli Pemuda UMNO Kelantan yang boleh diketengahkan untuk mendapat sokongan penduduk setempat dan berkhidmat dengan baik.

Sebelum ini, Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju meletakkan calon BN pada PRK DUN Nenggiri di Kelantan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa 19 Jun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan