SEREMBAN, 14 Julai (Bernama) -- Ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) perlu bersikap lebih terbuka bagi memastikan golongan itu mampu berdikari tanpa mengharapkan orang lain.
Ahli Dewan Negara Isaiah Jacob berkata ini bagi memastikan mereka dapat menyesuai serta menguruskan diri sendiri pada masa hadapan terutama selepas ketiadaan ibu bapa dan keluarga untuk membantu.
“Saya setuju ada ibu bapa tidak berani membenarkan anak-anak OKU hidup berdikari... tidak seperti di luar negara, mereka akan memastikan anak OKU diberikan latihan. Di Malaysia, ramai ibu bapa terlampau sayang, takut akan keselamatan dan kesihatan anak jika keluar. Saya setuju tentang sayang tapi perlu ada had.
“Apabila anak-anak ini ke Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), mereka boleh buat pelbagai perkara seperti mencuci pinggan mangkuk dan membersihkan diri namun apabila pulang ke rumah, tidak dibenarkan buat itu semua, ini akan merosakkan anak-anak… jadi ibu bapa perlu ada kesedaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Rumah Aktiviti Pendidikan Khas Senawang (RAPKS) yang diuruskan oleh Pertubuhan Guru, Ibu Bapa dan Anak Berkeperluan Khas Negeri Sembilan di sini hari ini.
Isaiah berkata bagi memperkasakan golongan OKU, peranan PDK perlu dipertingkat termasuk mewujudkan modul berlainan untuk tempoh enam bulan mengikut minat dan bakat mereka.
Beliau juga memaklumkan akan membawa cadangan ke Dewan Negara supaya pendidikan mengenai OKU diterap di peringkat sekolah menengah sekali gus memastikan masyarakat didedahkan dengan perkara itu termasuk penggunaan bahasa isyarat.
"Kita perlu bermula dengan generasi baharu, di tingkatan satu, bagaimana kalau ada keluarga OKU, bagaimana mahu jaga dan uruskan.
"Adakan bahasa isyarat, semua pelajar belajar bahasa isyarat justeru boleh berkomunikasi dengan cepat jika berdepan OKU pendengaran dan percakapan," katanya.
Selain itu, Isaiah mencadangkan supaya kerajaan negeri membantu menyediakan tapak tanah bagi pembinaan pusat autisme dan sindrom down yang dilengkapi teknologi baharu sekali gus membantu ibu bapa kurang berkemampuan selain menggalakkan penglibatan pihak swasta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial