SUKAN

Perbelanjaan Sukma Wajar Dikeluarkan Untuk Pembangunan Atlet Muda - Hannah

15/07/2024 12:35 AM

TAIPING, 14 Julai (Bernama) -- Setiap negeri yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini tidak sepatutnya menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk meminta supaya penganjur menanggung sebahagian perbelanjaan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ini kerana temasya sukan itu merupakan satu keperluan dalam memastikan negara tidak ketandusan bakat muda.

“Perkara itu perlu diletakkan sebagai keutamaan selain perincian berhubung penganjuran SUKMA tersebut telah dimaklumkan pada Menteri Besar dan Ketua Menteri sejak tahun lepas.

“Bagi saya alasan meminta penganjur menanggung sebahagian perbelanjaan adalah tidak adil kerana Sarawak dan Sabah umpamanya turut berdepan perkara sama. Saya kira tak banyak peruntukan untuk menghantar kontinjen ke Sarawak dan ia adalah perbelanjaan yang wajar untuk negeri,” katanya selepas menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam Bekas Atlet-Atlet Taiping di sini malam ini.

Pada 10 Julai lepas, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap Sarawak menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen negeri itu ke SUKMA bagi meringankan beban ditanggung termasuk tiket perjalanan dan membawa peralatan.

Dalam pada itu, Hannah berkata beliau kecewa kerana banyak acara sukan membabitkan wanita pada kejohanan kali ini dibatalkan ekoran kurang penyertaan disebabkan beban perbelanjaan.

Beliau berkata ia tidak adil memandangkan populasi wanita mewakili hampir separuh daripada bilangan keseluruhan penduduk selain turut membantutkan prestasi para atlet muda.

Sementara itu, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meminta Majlis Sukan Negara (MSN) mewujudkan kejohanan sukan peringkat kebangsaan bagi kategori terbuka sebelum hujung tahun ini dan bakal menggunakan model penganjuran SUKMA sebagai asas utama menjayakannya.

“Sukan adalah untuk semua. Tugas KBS bukan hanya jaga atlet di usia 18 hingga 21 tahun sahaja. Kalau anda berumur 40 tahun atau 50 tahun dan masih aktif terlibat dalam sukan maka ia tetap di bawah bidang kuasa KBS.

“Jadi saya fikir platform ini boleh digunakan oleh mereka yang berusia mungkin dari 30 hingga 50 tahun untuk bersaing secara kompetitif. Pada masa yang sama ia menyumbang kepada amalan gaya hidup sihat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan