EKONOMI

PEMBANGUNAN SISTEM BUDI MADANI TIDAK LIBAT SEBARANG KOS - LIM

15/07/2024 11:51 AM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pembangunan sistem Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) tidak melibatkan sebarang kos, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata portal BUDI MADANI dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman daripada kalangan pegawai kerajaan tanpa mendapatkan khidmat perunding luar.

“Pembangunan BUDI MADANI tidak melibatkan sebarang kos dan oleh itu, isu tender terbuka atau tidak, tidak wujud memandangkan menggunakan infrastruktur sedia ada,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai kos pembangunan sistem BUDI MADANI dan kaedah perolehannya dilaksanakan sama ada secara tender terbuka.

Lim berkata Program BUDI MADANI diperkenalkan sebagai platform penyasaran semula subsidi hanya kepada yang memerlukan bagi membendung kenaikan kos sara hidup dan juga berperanan memusatkan serta memudahkan proses permohonan secara dalam talian kepada pemilik kenderaan jenis diesel.

Pengumpulan maklumat terkini itu merupakan usaha berterusan kerajaan supaya kalangan yang terkesan mempunyai saluran yang mudah untuk mengemaskinikan maklumat agar mereka tidak tercicir daripada mendapat bantuan, katanya.

Beliau berkata penyasaran subsidi diesel melalui BUDI MADANI juga akan menggunakan semua pangkalan data sedia ada kerajaan yang berkaitan.

“Sebarang maklumat tambahan yang didapati melalui BUDI MADANI seterusnya akan dikongsi dan disepadukan ke dalam Pangkalan Data Utama (PADU),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan