EKONOMI

Tiada Perancangan Kembalikan Program Tanam Semula Sawit Secara Geran - Chan

15/07/2024 01:13 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Berdasarkan kemampuan kewangan semasa, kerajaan tiada perancangan untuk menguatkuasakan semula Program Tanam Semula Sawit secara geran buat masa ini, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Bagaimanapun, katanya kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta secara hibrid iaitu 50 peratus dalam bentuk geran dan 50 peratus pinjaman untuk melaksanakan Program Tanam Semula Sawit (TSPKS 2.0) pada tahun ini. 

Katanya seramai 1,500 pekebun kecil sawit akan menerima manfaat daripada program itu meliputi keluasan tanam semula sebanyak 5,900 hektar. 

“Melalui peruntukan yang disediakan oleh kerajaan ini, kita berharap ia akan dapat membantu pekebun kecil persendirian meningkatkan pendapatan dan produktiviti dalam sektor sawit secara keseluruhan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin tahu mengenai perancangan kementerian untuk menguatkuasakan semula Program Penanaman Semula Sawit yang dahulunya pinjaman menjadi geran.

Katanya sehingga 12 Julai lepas, seramai 413 pekebun kecil dengan keluasan tanaman 1,725 hektar melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM26.93 juta telah diluluskan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Beliau berkata sehingga Mac 2024, terdapat seramai 441,847 pekebun kecil sawit di Malaysia yang terdiri daripada 233,439 pekebun kecil tersusun dan 208,408 pekebun kecil persendirian. 

“Hanya pekebun kecil persendirian sahaja yang layak untuk menikmati bantuan inisiatif Tanam Semula Sawit,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan