EKONOMI

GENERALI MALAYSIA DAPAT TIGA PENGIKTIRAFAN PADA ANUGERAH INSURANS ASIA 2024

15/07/2024 02:07 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Generali Malaysia telah memenangi tiga pengiktirafan pada Anugerah Insurans Asia 2024 baru-baru ini yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands di Singapura.

Syarikat insurans itu melalui satu kenyataan hari ini berkata ia memenangi Penanggung Insurans Am Terbaik - Malaysia (Insurans Am) ; Inisiatif Insurans Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) Tahunan - Malaysia (Insurans Am) dan anugerah Inisiatif Insurans Terbaik Tahunan - Malaysia (Insurans Hayat).

Pengiktirafan itu datang setahun selepas Generali Malaysia dilancarkan iaitu selepas memperoleh dan menggabungkan MPI Generali Bhd dengan AXA Affin General and Life Insurance di Malaysia.

“Gabungan ini telah meningkatkan keupayaan operasi, titik sentuh dan prestasi Generali Malaysia dengan ketara, dengan syarikat itu merekodkan RM2.06 bilion dalam premium bertulis kasar bagi segmen insurans am pada 2023,” katanya.

Generali Malaysia berkata anugerah “Inisiatif Insurans PMKS Tahunan” mengiktiraf usahanya dalam meningkatkan daya tahan segmen terhadap perubahan iklim dan risiko lain.

Dengan kerjasama bersama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Generali Malaysia telah melancarkan inisiatif-inisiatif, seperti laporan penyelidikan bersama bertajuk "Membina Daya Ketahanan PMKS di Asia Tenggara", Rangka Kerja Pencegahan Kerugian PKS, alat digital yang menawarkan nasihat kepada PKS Malaysia berkaitan pengurusan risiko, serta Dana Cabaran Inovasi Insurans, yang memberikan insentif kepada pembangunan penyelesaian insurans inovatif untuk PKS dan projek SME EnterPRIZE yang terunggul di Asia.

Sementara itu, anugerah Inisiatif Insurans Tahunan telah mengiktiraf usaha luar biasanya untuk menegakkan misi serta nilai terasnya sebagai rakan kongsi seumur hidup kepada pelanggan, semasa perjalanan penjenamaan semula dan penyepaduan sistem yang kompleks.

Dalam tempoh kurang daripada 20 bulan, perniagaan Generali Malaysia Life mencapai kejayaan besar dengan kejayaan penghijrahan dua sistem hayat teras baharu serta lebih daripada 15 sistem persisian bersepadu sambil menggiatkan semula saluran pengedarannya, yang mana kedua-dua saluran agensi dan "bancasurrance” telah menunjukkan pertumbuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Bhd dan Ketua Negara untuk entiti Generali di Malaysia, Fabrice Benard melahirkan penghargaan susulan kejayaan penganugerahan tersebut, dengan menyatakan: “Kakitangan, ejen, rakan kongsi, pelanggan dan komuniti kami telah menjadi penggerak di sebalik segala yang kami lakukan di Generali Malaysia.

“Kami amat berterima kasih atas kepercayaan serta sokongan mereka, dan kami akan terus meningkatkan komitmen Rakan Seumur Hidup kami termasuk mempelopori penyelesaian yang lebih inovatif bagi mencipta masa depan yang mampan,” katanya.

Generali Malaysia telah terlibat secara aktif dalam penglibatan dan usaha kemampanan komuniti yang memberi impak dibawah pergerakan global membantu sesama manusia The Human Safety Net (THSN).

Syarikat itu mengetuai dan menganjurkan Sidang Kemuncak Pan Asia pertama THSN di Malaysia, menonjolkan peranan penting yang telah dimainkan oleh Malaysia dan Asia sejak penubuhan pergerakan itu pada 2017.

Generali Malaysia juga melancarkan Projek “Happy Box” dan Projek Makan Sihat dengan kerjasama Yayasan Generasi Gemilang bagi membantu keluarga yang memerlukan dan kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan di PPR Lembah Subang.

Tahun ini, Generali Malaysia terus memperkasakan keluarga yang rentan melalui kerjasama dengan Suriana Welfare Society Malaysia untuk menyediakan pendidikan awal kanak-kanak kepada anak-anak yang terabai di PPR Kg Muhibbah. Syarikat ini juga menganjurkan Generali Malaysia Run 2024 pertama yang mengumpulkan lebih 12,000 pelari bagi menggalakkan kesihatan yang lebih baik, di samping memperjuangkan badan sosial yang dekat dengan hati mereka.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan