EKONOMI

PUNB SASAR LULUS RM7 JUTA PEMBIAYAAN PERNIAGAAN DI SABAH TAHUN INI

15/07/2024 02:09 PM

KOTA KINABALU, 15 Julai (Bernama) -- Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan perniagaan sebanyak RM7 juta untuk 20 syarikat di Sabah pada tahun ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.01 juta telah diluluskan setakat bulan lepas manakala sebanyak RM3.6 juta dalam proses kelulusan.

“Sejak penubuhan PUNB sehingga Jun lepas, sebanyak RM100.5 juta pembiayaan perniagaan telah diluluskan kepada 468 syarikat melibatkan kira-kira 600 usahawan di Sabah,” katanya ketika merasmikan Pejabat PUNB Wilayah Sabah di Aeropod Commercial Square di sini hari ini.

Pada majlis itu, lagu korporat baharu bertajuk “Gemilang Bersama” diperkenalkan dan sambutan ulang tahun PUNB yang ke-33 pada 17 Julai ini turut dilancarkan.

Katanya PUNB menawarkan skim pembiayaan yang dapat digunakan oleh rakan usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam sektor minyak dan gas serta sektor sokongan yang lain.

Sementara itu, Acryl Sani berkata pejabat baharu itu merupakan komitmen PUNB untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada usahawan bumiputera di Sabah.

Katanya konsep pejabat baharu itu berbeza dengan pejabat cawangan lain mahupun di ibu pejabat kerana buat kali pertama pusat kecemerlangan diwujudkan untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada usahawan bumiputera bagi mendapatkan nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar daripada pegawai PUNB. 

Beliau berkata PUNB juga akan memastikan usahawan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam industri yang kompetitif ini. 

Katanya PUNB juga menyediakan sokongan dan bimbingan melalui konsultasi perniagaan untuk membantu usahawan mengatasi cabaran dan memanfaatkan peluang dengan lebih berkesan. 

“Usahawan juga tidak perlu runsing dan patah semangat sekiranya mempunyai masalah untuk memohon pembiayaan melalui dalam talian sebaliknya hanya perlu datang ke pejabat PUNB dan mendapatkan tunjuk ajar daripada pegawai yang bertugas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan