AM

MANTAN KSU KLN TAN SRI ABDUL KADIR MENINGGAL DUNIA

15/07/2024 02:12 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri (KLN) Tan Sri Abdul Kadir Mohamad meninggal dunia akibat sakit tua hari ini. 

Ahli keluarga Allahyarham semasa dihubungi Bernama berkata Abdul Kadir, 81, menghembuskan nafas terakhir sekitar 7 pagi di kediamannya di Cyberjaya, Selangor.  

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Putrajaya selepas solat Zuhur sebelum dikebumikan di Pusara Negara Presint 20, Putrajaya. 

Mengikut laman web Kementerian Luar Negeri, Abdul Kadir pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia dari tahun 1996 sehingga beliau bersara pada 2001.

Beliau pada mulanya menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia pada tahun 1968 dan telah memegang pelbagai jawatan dalam Kementerian Luar Negeri di Kuala Lumpur dan Misi Diplomatik Malaysia di New York, Saigon, Brussels, Washington dan Islamabad.

Selepas bersara, beliau dilantik semula sebagai Duta Besar Berkuasa Penuh di KLN dan mempunyai tanggungjawab khas sebagai ketua kepada pasukan Malaysia yang menyediakan kes Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan dalam pertikaian dengan Indonesia.

Sebagai wakil Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), beliau mengetuai pasukan undang-undang yang memenangi kes untuk Malaysia di Mahkamah Dunia pada 2002.

Beliau juga telah dilantik sebagai Penasihat Hal-ehwal Luar Negeri kepada Perdana Menteri Malaysia semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Pada 2007, Abdul Kadir juga merupakan wakil Malaysia di ICJ untuk pertikaian dengan Singapura berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan