AM

Rang Undang-undang Perubatan (pindaan) 2024 Dibentangkan Kali Pertama Di Dewan Rakyat

15/07/2024 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 bagi menambah baik peruntukan untuk melaksanakan proses pengiktirafan kelulusan dan latihan kepakaran pengamal perubatan, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) berkenaan dikemukakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut naskah biru di laman web Parlimen, pindaan rang undang-undang yang mengandungi 13 Fasal itu antara lain bertujuan memberi kuasa kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk mengiktiraf kelayakan dan latihan kepakaran bagi pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.

“Ia juga untuk memberikan kuasa kepada majlis melantik mana-mana pengamal perubatan berdaftar untuk mewakili majlis dalam apa-apa jawatankuasa, panel atau institusi,” menurut naskah biru berkenaan.

Selain itu, rang undang-undang terbabit juga bertujuan mengadakan syarat bagi pengamal perubatan untuk berdaftar sebagai pakar, selain memperuntukkan latihan kepakaran sebagai suatu kehendak untuk berhak didaftarkan sebagai pakar.

Sementara itu, Dzulkefly turut membentangkan Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Rang undang-undang yang mengandungi 14 Fasal itu antaranya bagi memastikan setiap pengamal perubatan yang mempunyai sebab untuk percaya atau mengesyaki wujudnya apa-apa penyakit berjangkit, memberikan notis dalam apa jua cara, sebagaimana ditentukan ketua pengarah.

“Pindaan juga bertujuan memasukkan seksyen baharu 14a ke dalam Akta 342 untuk membolehkan seseorang pegawai diberi kuasa memerintahkan mana-mana orang yang dijangkiti sesuatu penyakit berjangkit menjalani pengasingan atau pengawasan,” menurut naskah biru itu.

Dzulkefly berkata bacaan kali kedua bagi kedua-dua rang undang-undang itu akan dibuat pada mesyuarat kali ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan