KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini melancarkan Kempen Jom Potong 2024 bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam membayar zakat melalui skim potongan gaji bulanan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata kempen yang berlangsung selama enam bulan bermula 1 Julai sehingga 31 Dis itu menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM90 juta dengan bilangan pembayar zakat seramai 7,000 orang.
Beliau berkata bayaran zakat melalui skim tersebut adalah penting kerana ia membantu dalam menjamin kelangsungan agihan zakat oleh PPZ-MAIWP kepada asnaf di Wilayah Persekutuan setiap bulan.
“Bayaran zakat melalui Skim Potongan Zakat Bulanan ini amat digalakkan kerana agihan zakat yang dibuat kepada asnaf seperti bantuan kewangan bulanan bergantung sepenuhnya kepada kutipan zakat ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Jom Potong 2024 di sini hari ini.
Abdul Hakim berkata pihaknya optimis saluran pembayaran tersebut akan terus menjadi pilihan pembayar zakat kerana fungsinya yang mudah dan sistematik, selain tidak membebankan, terutamanya kerana ia boleh diselaraskan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).
Beliau berkata pembayar zakat juga layak mendapat 100 peratus rebat cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri selain secara automatik dilindungi Skim Kafalah Muzakki atau dikenali sebagai khairat kematian sehingga RM3,000.
“Sebagai rakyat Malaysia yang diberi kelebihan ini, saya seru ambillah peluang ini kerana kita tidak akan rugi walau sedikit pun malah tanggungjawab kepada negara dan agama secara serentak dapat dilaksanakan,” katanya.
Selain itu, Abdul Hakim berkata 250 pembayar zakat juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik antaranya pakej umrah, motosikal elektrik, kerusi urut, bagasi Airwheel dan banyak lagi menerusi kempen berkenaan.
Pembayar zakat yang ingin menyertainya hanya perlu mengisi borang secara dalam talian melalui pautan ptg.zakat.com.my dan PPZ-MAIWP akan menguruskan proses potongan gaji bersama majikan masing-masing, tambah beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial