AM

KERAJAAN JOHOR, PUSAT KERJASAMA KENAL PASTI FASILITI KESIHATAN DAIF

15/07/2024 03:54 PM

BATU PAHAT, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan Johor akan bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk mengenal pasti fasiliti kesihatan awam yang daif dan perlu dinaik taraf di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata antara yang telah dikenal pasti melibatkan beberapa klinik kesihatan dan klinik desa.

Beliau berkata perkara itu bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam dan tahap keselesaan pesakit yang mendapatkan rawatan.

"Kita terima banyak permohonan untuk menaik taraf, pada masa sama kita telah naik taraf kemudahan dan fasiliti di Klinik Kesihatan Ayer Hitam di sini dengan peruntukan RM1 juta tahun lepas.

"Secara keseluruhan, dalam tempoh itu sebanyak 43 fasiliti kesihatan telah dinaik taraf, manakala setakat tahun ini, 55 fasiliti kesihatan telah dinaik taraf," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak baharu Klinik Kesihatan Parit Raja di sini hari ini.

Berkaitan pembinaan Klinik Kesihatan Parit Raja yang baharu, Ling berkata ia merupakan satu keperluan kerana premis sedia ada tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat setiap tahun.

Beliau berkata klinik yang telah beroperasi sejak 1967 itu perlu menampung lebih 400 pesakit setiap hari atau lebih 10,000 pesakit setiap bulan.

"Oleh itu, keperluan membina klinik baharu memang mendesak dan perkara itu telah mendapat kelulusan Kementarian Kesihatan.

"Klinik baharu kategori klinik kesihatan jenis tiga ini akan dibina di tapak berkeluasan 4.7 ekar (1.9 hektar) dan dijangka siap pada 2028," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan