JOHOR BAHRU, 15 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak pengakuan bersalah seorang bapa atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya dengan membiarkan tidur di kaki lima rumah flat selama dua malam, minggu lepas.
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memutuskan demikian selepas berpendapat pengakuan bersalah Roslan Abas, 56, dibuat dengan bersyarat seterusnya memerintahkan supaya kes berkenaan dibicarakan.
"Pengakuan bersalah perlulah dibuat tanpa syarat dan tertuduh perlu mengakui fakta kes. Jika begini, kes akan dibicarakan dan mahkamah beri peluang pada kamu untuk buktikan kamu tidak bersalah," katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi.
Terdahulu, Roslan yang bekerja sebagai pengutip barang lusuh mengaku bersalah tetapi memaklumkan ada membekalkan kunci kepada anak lelakinya itu.
"Saya ada bekalkan kunci tetapi dia tidak mahu masuk. Tak mengapalah, saya faham, saya mengaku salah sahajalah," kata tertuduh.
Mengikut pertuduhan Roslan sebagai orang yang mempunyai tanggungjawab pemeliharaan terhadap anak lelaki berusia 14 tahun itu telah mengabaikan dengan cara membiarkannya tidur di kaki lima rumah di sebuah flat di Pasir Gudang di sini antara 10 malam, 7 Julai hingga 8 pagi, 9 Julai lepas.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan
Kesalahan itu juga boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada apa jua hukuman, memerintahkan individu yang disabit kesalahan menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama beberapa tempoh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak dilapor berkata sepasang suami isteri berusia 56 dan 54 tahun ditahan Rabu lepas selepas tular beberapa keping gambar anak mereka didakwa tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah sehingga terpaksa tidur di kaki lima sebuah flat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial