EKONOMI

MITI JANGKA PELAKSANAAN E-INVOIS TIDAK JEJAS JUMLAH JUALAN KENDERAAN TAHUN INI

15/07/2024 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangka pelaksanaan e-invois yang dijadualkan bermula secara berperingkat pada Ogos depan tidak akan memberi impak kepada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) pada tahun ini.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelaksanaan sistem e-invois pada bulan depan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta dan dijangka tidak menjejaskan syarikat jualan kenderaan bersaiz kecil.

"Saya sudah berbincang dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan kami berpendapat tidak ada impak ke atas pelaksanaan e-invois, cuma mungkin kegusaran syarikat kecil ini kerana ia akan melibatkan sistem yang perlu mereka ada," katanya pada sidang media selepas melancarkan inisiatif Akreditasi Halal & Peningkatan Teknologi (HATI), di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Kewangan (MoF) telah memaklumkan bahawa pelaksanaan sistem e-invois untuk permulaan hanya membabitkan syarikat yang memiliki pendapatan atau hasil melebihi RM100 juta.

"Secara teori sepatutnya tiada kesan kerana penjual kereta...syarikat mereka tidaklah sebesar itu.

"Namun kita tahu ada kerisauan kerana ada segelintir yang menawarkan pinjaman penuh untuk kenderaan, jadi dengan e-invois ia menjadikan transaksi lebih terus, dan amalan ini tidak boleh dilakukan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media baru-baru ini yang menyatakan jualan kenderaan dijangka mengalami penurunan permintaan pada Ogos akibat penghapusan pinjaman penuh terhadap pembelian susulan pelaksanaan e-invois.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan 4,000 syarikat berpendapatan melebihi RM100 juta disasarkan menjadi kumpulan pertama bagi pelaksanaan e-invois mulai 1 Ogos, 2024.

Syarikat dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta dan sehingga RM100 juta akan mula mengguna pakai e-invois pada 1 Jan, 2025.

Manakala penguatkuasaan penuh sistem e-invois akan dilaksana pada 1 Julai, 2025.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan