EKONOMI

Maybank Ib Lancar Kempen 'myimpact Invest'

15/07/2024 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) melancarkan kempen untuk pelanggan runcit yang dinamakan "myimpact invest" bagi menawarkan perkhidmatan kewangan berasaskan nilai melalui amalan yang adil, telus, inklusif dan mampan.

Maybank IB berkata kempen itu memberi insentif kepada dagangan dalam saham alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pematuhan syariah.

Ketua Pegawai Operasinya, Tengku Ariff Azhar Tengku Mohamed berkata kempen berkenaan mempunyai lima prinsip iaitu menggalakkan penciptaan nilai ekonomi sambil menghapuskan aktiviti yang menindas; spekulatif dan berbahaya; urus niaga yang telus dan adil; penyampaian perkhidmatan yang berkualiti; keterangkuman kewangan serta pemeliharaan alam sekitar.

Dalam satu kenyataan berasingan, Tengku Arif Azhar berkata bank pelaburan itu telahpun menerajui dalam usaha pelaburan ESG, yang merangkumi laporan bertema dan lembaran ESG.

 "Dengan kempen "myimpact Invest", kami mengambil langkah seterusnya untuk menggalakkan pelaburan yang bermatlamat dengan menyokong pasaran saham tempatan, khususnya konstituen Indeks FTSE4GOOD Bursa Malaysia serta sekuriti patuh syariah seperti yang ditentukan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

Menurut Tengku Ariff Azhar, sebagai broker sepenuhnya dengan tawaran lengkap, Maybank IB akan memberikan idea perdagangan baharu kepada pelanggan melalui pengalaman yang lancar di platform aplikasi mudah alih baharu mereka.

"Aplikasi mudah alih Maybank Trade MY baharu kami yang dilancarkan pada April tahun ini telah dibangunkan melalui penglibatan pelanggan dan penambahbaikan berulang.

"Dengan menjadikan pelaburan mudah, selamat dan pintar, kami mewujudkan keupayaan untuk rakyat mengembangkan kekayaan mereka. Hanya dengan RM10, mereka boleh membuka akaun perdagangan dan menggunakan sumber di aplikasi kami untuk membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat," katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut, di sini, hari ini.

Menurut satu kenyataan berasingan, pelanggan juga berpeluang memenangi tiket penerbangan ‘carbon offsets’ (tiket bayaran tambahan untuk mengimbangi pelepasan karbon yang dihasilkan oleh penerbangan) dan penginapan di hotel yang diperakui hijau di London, Tokyo, dan Maldives, telefon pintar, serta baucar beli-belah dalam kempen enam bulan ini. Kempen ini berlangsung dari 15 Julai 2024 hingga 14 Januari 2025.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web maybank.my/myimpactinvest.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan