AM

LESEN BATAL, TIADA PERMOHONAN BAHARU DALAM TEMPOH DUA TAHUN JIKA LANGGAR APTQ

15/07/2024 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) --  Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) memutuskan pemegang Lesen Mesin Cetak al-Quran (LMCQ) akan dikenakan tindakan pembatalan lesen mesin cetak al-Quran sekiranya melanggar mana-mana syarat lesen, garis panduan atau Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ).

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri Nik Yusaimi Yussof berkata syarikat atau mana-mana pihak yang telah dibatalkan lesen tidak boleh memohon lesen baharu selama tempoh dua tahun daripada tarikh dibatalkan.

“Hanya syarikat atau mana-mana pihak melepasi kelayakan dan mempunyai kemampuan untuk menghasilkan al-Quran sebagaimana Garis Panduan Permohonan Lesen Mencetak Teks al-Quran akan diberi lesen. 

“Teks atau bahan al-Quran tidak boleh ditulis selain daripada bahasa Arab ataupun ditulis dalam bahasa lain yang disertakan dengan teks bahasa Arab,” katanya. 

Perkara tersebut diputuskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) dalam mesyuarat LPPPQ Kali Ke-111 Bilangan 2 2024 pada Ahad lepas, yang dipengerusikan oleh Pengerusi LPPPQ Datuk Nooh Gadot. 

Nik Yusaimi berkata keputusan itu dibuat selaras dengan keseriusan pihak berkaitan itu menjaga kesucian dan kemuliaan teks al-Quran agar tidak disebut dengan sebutan salah yang boleh memberi maksud berbeza daripada maksud asal.

Beliau berkata pada mesyuarat tersebut juga terdapat persetujuan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjalankan sinergi dengan agensi agama negeri bagi meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap isu-isu yang menjejaskan kesucian dan kemuliaan al-Quran.

Dalam perkembangan lain, Nik Yusaimi berkata pelaksanaan program berimpak ‘Jom Exchange al-Quran’ (JEQ) di seluruh negara dalam menjayakan misi ‘Ke Arah Sifar al-Quran Tiada Perakuan KDN’ sehingga Jun tahun ini, telah berjaya menarik keluar secara sukarela daripada komuniti sejumlah 16,719 naskhah al-Quran tiada perakuan KDN dan pelbagai kesilapan pada ayat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan