KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) memperkenalkan PRUMillion Med Active yang memperkasakan pelanggan untuk mengurangkan kos insurans perubatan melalui kehidupan yang sihat dan pilihan bijak, di samping mengekalkan perlindungan penuh tanpa kompromi.
Ketua Pegawai Kewangan PAMB Ankur Bassi dalam kenyataan berkata PRUMillion Med Active membenarkan pelanggan mengawal kos insurans dan memberi ganjaran awal untuk membolehkan mereka membayar insurans perubatan lebih rendah apabila tuntutan dibuat, semuanya tanpa perubahan pada perlindungan mereka.
Beliau berkata PRUMillion Med Active menawarkan perlindungan komprehensif termasuk ujian genomik untuk menentukan rawatan yang sesuai apabila didiagnosis dengan kanser serta rawatan penjagaan susulan, dengan menambah Active Booster, pelanggan diberi ganjaran hingga RM1,000 setahun untuk penjagaan pencegahan sekiranya tiada tuntutan dibuat.
"Ditawarkan kepada pelanggan dari pranatal hingga 69 tahun, PRUMillion Med Active memberi ganjaran kepada mereka yang kekal sihat dan membuat keputusan bijak berkaitan prosedur kesihatan. Setelah mendaftar, pelanggan boleh menikmati diskaun kos caj insurans perubatan bermula dari tahun pertama apabila tiada tuntutan dibuat.
"Pada masa sama, pelanggan masih boleh mendapatkan tahap perlindungan tanpa kompromi seperti dinyatakan dalam polisi mereka. Perkara ini memberi mereka kuasa untuk mengurus kos insurans perubatan dengan memutuskan masa untuk membuat tuntutan atau memilih pembekal penjagaan kesihatan yang lebih kos efektif," katanya.
Bassi berkata dengan peningkatan kos perubatan yang memberi kesan terhadap kos insurans perubatan, penggunaan perlindungan insurans secara berhemah dapat membantu mengekalkan perlindungan komprehensif dengan bayaran berpatutan.
"Dengan memberi insentif kepada pelanggan untuk mengekalkan gaya hidup lebih sihat yang dapat mengurangkan keperluan rawatan perubatan mereka, kita bukan sahaja membolehkan mereka menikmati kos insurans perubatan yang lebih rendah, tetapi juga mereka boleh menyumbang kepada ekosistem insurans dan penjagaan kesihatan yang lebih mampan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pelanggan di PAMB, Mily Liang berkata inflasi kos perubatan di Malaysia telah meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, lebih tinggi berbanding purata global, disebabkan oleh peningkatan harga bekalan dan perkhidmatan hospital seperti harga ubat-ubatan, teknologi perubatan baharu dan penggunaan perkhidmatan kesihatan yang lebih kerap.
Beliau berkata syarikat itu telah menyaksikan peningkatan kes tidak berjangkit biasa (NCD) dalam beberapa tahun lepas termasuk dalam kalangan pemegang polisi yang lebih muda, seiring dengan peningkatan dalam pembayaran insurans perubatan sebanyak 23 peratus pada 2023 berbanding tahun sebelumnya.
"Di samping peningkatan penyakit, terdapat kenaikan dua digit dalam jumlah bayaran perubatan bagi penyakit teratas pada 2023 berbanding 2022 berdasarkan tuntutan bayaran perubatan yang dikemukakan oleh pemegang polisi PAMB, termasuk penambahan 25 peratus untuk penyakit jantung, 18 peratus bagi penyakit kronik, 16 peratus bagi kanser payudara dan 10 peratus katarak.
"Berdepan dengan risiko ini, menguruskan kos penjagaan kesihatan dengan menggunakan duit daripada poket sendiri sangat mencabar bagi ramai yang tidak mempunyai perlindungan insurans. Pada masa yang sama, mereka yang memiliki polisi insurans ingin memperoleh nilai tambahan daripada kos insurans perubatan untuk membantu menguruskan perbelanjaan bulanan yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup," katanya.
Maklumat lanjut mengenai PRUMillion Med Active, pelanggan boleh melayari https://www.prudential.com.my/en/products-riders/prumillion-med-active/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial