AM

PERSIAPAN TERAKHIR PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN BERJALAN LANCAR

15/07/2024 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Persiapan dan persedian terakhir bagi Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang dijadual berlangsung di Cyberjaya pada 21 Julai ini sedang giat dilakukan dan berjalan lancar mengikut perancangan.

Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat (BMKK), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Mohd Hafiz Shahaini berkata majlis yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat kerjasama dan komitmen tinggi semua agensi dan dan rakan strategik dalam menjayakan acara tersebut.

“Sebenarnya cabaran yang dihadapi adalah dari segi pengisian acara (yang) memang padat dan kita letakkan semuanya dalam satu hari. Di situlah ada pelancaran, karnival dan program pemukiman.

“Cabaran itu sangat besar, tapi kita yakin dengan kerjasama daripada rakan-rakan dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat, insya-Allah ia akan berlangsung dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika  menjadi tetamu pada rancangan Darah Muda terbitan Bernama TV bertajuk Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini malam ini.

Mohd Hafiz berkata sambutan kali ini akan turut menyaksikan buat pertama kalinya persembahan bicara berirama diketengahkan yang menampilkan penyertaan para belia dari JaPen dan Kementerian Komunikasi.

“Persembahan ini berbentuk interpretasi nilai kemerdekaan serta apa inisiatif-inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat,” katanya.

Perdana Menteri dijadual menyempurnakan majlis itu pada jam 2 petang di Cyber Event Hall, Cyberjaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan