AM

PARLIMEN: TIADA KENAIKAN HARGA BARANG LUAR BIASA DIKESAN SUSULAN PELAKSANAAN RASIONALISASI SUBSIDI DIESEL

16/07/2024 02:11 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa tiada kenaikan harga barang yang luar biasa dikesan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel sejak 10 Jun lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata melalui Ops Kesan, bahagian penguatkuasaan kementerian telah melaksanakan 14,195 pemeriksaan ke atas pelbagai premis perniagaan bagi memastikan tiada aktiviti pencatutan.

“Bahagian Harga Barang Negara turut memantau 418 jenis barangan keperluan harian, dan daripada data yang kita teliti setiap hari, kita dapati tiada turun naik (harga) yang luar biasa,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai impak rasionalisasi subsidi diesel terhadap harga barangan dan peningkatan kos sara hidup rakyat, di samping peningkatan kadar cukai perkhidmatan dan tarif elektrik serta air.

Menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu sama ada kerajaan ada membuat semakan secara harian atau mingguan, Fuziah berkata pihak kementerian menggerakkan 2,200 pegawai penguatkuasa dan 900 pegawai pemantau harga setiap hari bagi memantau dan mengumpul data simpanan stok (SKU) harga barang.

“Saya nak maklumkan sebenarnya sejak 2 Mei lepas, hampir sebulan sebelum penyasaran subsidi diesel dilaksanakan, pegawai penguat kuasa sudah turun padang dan kumpul maklumat berkenaan harga barang, dan sehingga kini 14,729 SKU harga barang telah direkodkan supaya kita boleh buat perbandingan kalau ada kenaikan dan kalau ada penurunan.

“Kalau ada kenaikan atau penurunan, itu perkara biasa dalam pasaran ekonomi terbuka, apa yang kita cari ialah kalau ada elemen pencatutan dan elemen kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya.

Sementara itu Fuziah berkata daripada 14,195 premis yang diperiksa, 243 notis dikeluarkan untuk memohon penjelasan kenaikan harga yang tidak munasabah.

“Ini maksudnya kita sudah buat sesuatu, dan kita sudah panggil 17 syarikat ke kementerian untuk beri penerangan kenapa mereka menaikkan harga barang tanpa sebab atau alasan munasabah, dan kita juga sudah buka kes siasatan, ini tindakan yang diambil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan