EKONOMI

Momentum Pertumbuhan Asean+3 Meningkat Dibantu Pemulihan Eksport, Pengukuhan Permintaan Domestik

16/07/2024 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi rantau ASEAN+3 pada 2024 dan 2025, masing-masing pada 4.4 peratus dan 4.3 peratus.

Ketua Ekonomi Hoe Ee Khor berkata prospek eksport yang menggalakkan membantu meningkatkan momentum pertumbuhan di rantau itu tahun ini serta tahun-tahun seterusnya, di samping permintaan domestik yang kukuh dan pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan.

“Tahun ini, rantau ASEAN+3 dijangka berkembang pada kadar yang stabil 4.4 peratus.

“Permintaan dalam negeri akan disokong oleh keadaan pekerjaan yang kukuh dan harga yang stabil, manakala pertumbuhan eksport dijangka kembali positif berikutan permintaan global yang meningkat,” katanya pada taklimat media secara maya berhubung kemas kini suku tahunan terbaru AMRO mengenai Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO) hari ini.

Menurut Hoe, pertumbuhan di ASEAN diunjur meningkat kepada 4.8 peratus tahun ini berbanding 4.2 peratus pada 2023, manakala pertumbuhan keseluruhan bagi ekonomi +3 (China, Jepun, Korea Selatan) diunjurkan kekal stabil pada 4.4 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata AMRO menjangkakan pertumbuhan ASEAN+3 berkurangan sedikit kepada 4.3 peratus pada 2025.

“Imbangan keseluruhan risiko terhadap prospek rantau ini telah bertambah baik sejak April.

“Pelancongan telah pulih hampir kepada tahap prapandemik bagi kebanyakan ekonomi di rantau ini, dan pemulihan semikonduktor global semakin meluas untuk memanfaatkan lebih banyak ekonomi dan sektor di ASEAN+3,” tambahnya.

Hoe seterusnya menyatakan bahawa inflasi di rantau ASEAN+3, tidak termasuk Republik Demokratik Rakyat (PDR) Lao dan Myanmar, diramalkan menjadi sederhana kepada 2.1 peratus pada 2024, lebih rendah daripada unjuran 2.5 peratus pada April. Ini disebabkan harga makanan yang lebih lemah daripada jangkaan di beberapa ekonomi dan inflasi import yang lebih rendah.

“Berbanding dengan April, sebanyak 11 daripada 14 ekonomi kini dijangka menyaksikan kadar inflasi yang lebih rendah tahun ini.

“Bagaimanapun, risiko penurunan inflasi kekal terutamanya jika ketegangan geopolitik bertambah buruk dan mencetuskan lonjakan harga komoditi dan penghantaran global,” katanya.

Beliau menambah faktor risiko yang berkaitan dengan Amerika Syarikat (AS) telah menjadi lebih menonjol, dengan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi untuk lebih lama di AS membebankan kebanyakan mata wang di rantau itu.

Pasaran aset ASEAN+3 juga boleh menyaksikan turun naik yang lebih tinggi menjelang pilihan raya presiden AS pada November, terutamanya jika kempen pilihan raya membawa kepada meningkatnya lagi ketegangan perdagangan AS-China, katanya.

“Prospek rantau ini tahun depan mungkin terjejas dengan ketara disebabkan oleh keputusan pilihan raya AS, tetapi ia telah mengharungi kejutan yang sama sebelum ini.

"Ekonomi rantau ini perlu terus membina semula ruang dasar dan meneruskan dasar untuk meningkatkan daya tahan terhadap kejutan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan